Norain yang baru pulang dari kolej tengahari itu merasa hairan apabila mendapati rumah sewa mereka terlalu bising. Bunyi lagu kumpulan Coldplay bergema di udara.
“ Apa pulak mimpi budak ni ?” Norain menggerutu di dalam hati. Pagi tadi sewaktu dia pergi meninggalkan rumah, keadaan masih lagi tenang dan sunyi. Norain yang masih lagi keletihan kerana berjalan kaki di sepanjang perjalanan balik tadi segera melabuhkan punggung di sofa. Dia memejam mata, sambil cuba menghayati lagu Yellow dendangan kumpulan Coldplay tadi. Bagaimana pun Norain membuka matanya apabila dapat merasakan ada seseorang duduk bersebelahan dengannya.
“ Kau ni kenapa ? Semacam je aku tengok !” Tegur Norain apabila perasan riak wajah Hairani yang tampak gelisah. Begitupun, Hairani tidak terus menjawab. Hanya tangannya sahaja yang ligat memintal hujung bajunya. Dia pasti, memang ada sesuatu yang mahu Hairani luahkan kepadanya.
“ Kau ni kenapa Hairani ?” Bertemu keningnya memandang Hairani. Dan kali ini dia tambah terkejut sewaktu mendapati yang Hairani sebenarnya menangis. Dan masih seperti tadi, Hairani masih tetap membisu seribu bahasa.
“ Ain….” Hanya itu yang Norain sempat dengar dari bibir Hairani sebelum Hairani memeluk tubuhnya. Terasa bagaikan mahu sesak nafas Norain gara-gara pelukan Hairani yang terlalu kuat itu, bagaikan Hairani cuba melepaskan geram sambil memeluknya pula. Bagaimanapun tindakan Hairani yang mendadak memeluknya itu menyebabkan dia menggelabah. Buat seketika biarpun nafasnya terasa sesak, dia tetap membiarkan sahaja Hairani terus memeluknya. Pada perkiraannya biarlah tangisan Hairani itu reda dahulu, barulah sesuai untuk bersuara ataupun bertanya.
“ Ain, nanti…kalaupun aku dah kahwin, aku tetap juga nak tinggal dengan kau…” Itulah ayat pertama yang dibicarakan oleh Hairani setelah tangisannya reda. Norain hanya menggaru kepala yang tidak gatal mendengar bicara kawannya itu. Tahulah dia, pastinya kesedihan dan masalah Hairani kali ini tetap berpunca dari perkara yang sama iaitu kerana perkahwinannya dengan Pak Aji..!!
“ Mana boleh Aira, nanti kau dah bergelar isteri, mestilah tinggal dengan suami. Tak pernah dibuat dek orang lepas kahwin suami dan isteri tinggal asing-asing. Sekalipun suami kau berikan keizinan untuk kau tinggal di sini, aku tetap tak sedap hati juga…” Norain cuba berbicara dengan nada yang selembut mungkin. Lagipun dia bimbang sekiranya berbicara kasar dengan Hairani, nanti Hairani merajuk pula.
“ Aku tak nak tinggal dengan Pak Aji..” Hairani menekan suara.
“ Hairani…”
“ Dahlah Ain, janganlah kau nak pujuk aku pulak. Kau tahu tak…aku terima Pak Aji jadi suami aku pun, aku dah cukup terseksa..” Hairani merenung Norain dengan matanya yang merah.
“ Ya..aku faham…” Norain mengangguk, cuba menunjukkan dia faham.
“ Baguslah kalau kau faham..” Barulah suara Hairani kembali perlahan. Norain terdiam seketika, seakan-akan berfikir. Dia masih ingat akan kata-kata Hairani semalam, semuanya akan dapat diselesaikan dengan cara yang baik. Dan nampaknya tidak semudah itu untuk Hairani membuktikan kata-katanya semalam itu dapat dikotakan. Yang jelasnya, hari ini keadaan Hairani jelas sekali teruk. Norain juga pasti, tekaannya semalam memang betul. Bukannya senang bagi Hairani untuk membatalkan majlis pernikahan dengan Pak Aji itu. Tambahan lagi, Pak Aji itu menantu pilihan keluarga..!
Norain merenung wajah Hairani sekilas. Masih jelas riak kesedihan di wajah putih Hairani. Niatnya untuk bertanya dengan lebih lanjut kepada Hairani tentang perkara yang sebenar terjadi hari itu juga turut terbantut. Kala itu perasaan geram setiap kali bertekak dengan Hairani mula bertukar menjadi rasa belas kasihan tatkala melihat wajah sedih Hairani.
Dia tahu, memang bukan mudah bagi Hairani untuk menerima bakal suami yang dipilih oleh emaknya itu. Sekalipun lelaki itu sepupunya sendiri, itu tidak bermakna Hairani dapat menerima Pak Aji dengan hati yang terbuka. Andainya dia yang berada di tempat Hairani, mahu juga keadaannya lebih teruk daripada Hairani. Entah-entah dia hanya mampu berendamkan air mata sepanjang masa. Tapi apakan daya, sekarang memang dia tidak mampu untuk menghulurkan apa-apa pertolongan kepada Hairani untuk lari dari masalah itu. Kalau masalah Hairani itu setakat masalah cinta biasa, mungkin dia masih boleh menolong apa yang patut, tapi ini..bukannya masalah yang hanya melibatkan perasaan cinta terpaksa..malahan melibatkan perkahwinan.
Dan sebagai seorang kawan, Norain memang bersimpati dengan nasib Hairani. Agaknya memang sudah tertulis jodoh Hairani untuk menjadi isteri kepada lelaki yang tidak pernah dikenalinya dalam usia yang agak muda. Apa sekalipun, pintanya semoga Pak Aji dapat membahagiakan Hairani.
Norain baru sahaja selesai mandi ketika dia mendengar Hairani bercakap dengan nada yang agak nyaring di ruang tamu. Panjang sahaja lehernya menjenguk ke ruang tamu, cuba melihat dengan siapa Hairani sedang berbual. Kala itu baru dia perasan, rupanya Hairani sedang bercakap dengan seseorang di telefon.
“ Pak Aji, saya tak ada masa nak bergurau dengan awak. Ni yang awak mesti ingat, saya ni kahwin dengan awak sebab awak tu pilihan emak saya. Kalau ikutkan hati saya, tak nak saya kahwin dengan awak. Dahlah tua….”
Norain menelan liur yang serasa melekat di kerongkong. Nampak gayanya sedih Hairani petang tadi tidak ke mana. Dia jadi geram sendiri mendengar bunyi bicara Hairani tadi. Dah tahu terpaksa kahwin dengan Pak Aji, apa salahnya gunakan masa yang ada sebelum kahwin dengan berbaik-baik dengan Pak Aji. Daripada asyik bertekak tak tentu pasal, baik gunakan peluang yang ada untuk mengenali Pak Aji. Manalah tahu…kot-kot Pak Aji itu jauh lebih baik dari yang disangka. Ini tidak, asal sahaja bercakap dengan Pak Aji setiap kali Pak Aji menelefon, tak sudah-sudah Hairani dengan hot tempernya.
Suasana masih diam seketika. Agaknya Hairani masih mendengar butir bicara dari Pak Aji pula. Norain bagai sudah melekat di dinding yang memisahkan ruang tamu dengan dapur, tidak jauh dari bilik mandi tadi, cuba untuk terus memasang telinga mendengar perbualan Hairani dengan Pak Aji.
“ Aii…awak ketawakan saya pula ? Jangan ingat awak ketawa macam tu, lepas tu buat suara-suara romantik macam tu, saya akan suka pada awak. Jangan mimpilah..”
Norain rasa telinganya bagaikan mahu tanggal tatkala mendengar bicara kawannya itu. Sungguh dia melihat Hairani bagaikan seorang perempuan yang sudah hilang adap sopannya apabila bercakap dengan orang lain. Sekalipun tak sukakan Pak Aji, janganlah cakap sampai macam tu sekali…!!!
“ Apa awak kata ? Awak nak pastikan saya jatuh cinta dengan awak ? Jangan mimpi di siang harilah Pak Aji…” Kedengaran Hairani ketawa setelah habis berbicara. Norain mengurut dada sendiri mendengar bicara bernada sombong Hairani itu. Dibuatnya lepas kahwin nanti Hairani ‘terjatuh cinta’ pulak dengan Pak Aji…baru padan muka Hairani !
“ Eiii…dahlah. Malas saya nak dengar suara awak tu. Naik loya saya dengar. Tak habis-habis perasan yang diri tu hensem. Awak tu Pak Aji, nama je Haji..tapi perangai tak serupa orang dah naik haji pun…! Dan seperkara lagi yang saya nak ingatkan awak, sekalipun kita nanti dah jadi suami isteri, saya tak nak tinggal serumah dengan awak…..”
Hairani terdiam seketika. Norain turut ternanti-nanti apa bicara Hairani yang seterusnya.
“ Suka hati sayalah nak tinggal kat mana pun. Saya lebih sanggup tidur bawah jambatan dari tidur sebilik dengan awak…! Dah…bye…” Nampak gayanya Hairani sudah menamatkan perbualannya dengan Pak Aji. Dan Norain yang sudah perasan Hairani sedang melangkah menuju ke pintu bilik, segera berlari-lari anak menuju ke bilik tidurnya sendiri. Di balik pintu, dia menarik nafas lega kerana berjaya menyelinap masuk ke bilik sebelum Hairani sempat melihatnya. Kalaulah Hairani mendapat tahu dia memasang telinga sebentar tadi, matilah dia kena amuk Hairani..!