NuffNang Ads

Peminat ku.........

Kata-kata itu indah........

Orang yang banyak ketawa itu kurang wibawanya.
Orang yang suka menghina orang lain, dia juga akan dihina.
Orang yang mencintai akhirat, dunia pasti menyertainya.
Barangsiapa menjaga kehormatan orang lain, pasti kehormatan dirinya akan terjaga

Wednesday, March 9, 2011

Cinta Kita - Bab 11


Hairani merasakan serba-serbi perkara yang dibuatnya serba tidak kena. Perasaannya begitu berkecamuk setelah melihat wajah sebenar Haji sebentar tadi. Segera segala kata-kata yang pernah dia lafazkan kepada Haji terimbau semula dalam ingatannya. Malu sendiri dia apabila mengingatkan semula semua kata-kata kasarnya terhadap Haji. Paling dia tidak dapat lupa, dia sendiri memanggil tunangnya itu Pak Aji. Ini Norainlah yang punya pasal…dia yang mula menggelar Haji itu Pak Aji, hingga akhirnya dia sendiri menggunakan gelaran itu untuk memanggil Haji setiap kali lelaki itu menghubunginya.
          “ Hensemnya dia Aira…tak rugi kau dapat jadi isteri dia…” Masih dia ingat kata-kata pujian yang dilafazkan oleh Ain sewaktu mereka melihat wajah Haji tadi. Sebenarnya kala itu dia sudah tidak mampu hendak berkata apa-apa, kerana dia sendiri tidak pernah menjangka bakal suaminya itu mempunyai personaliti yang menarik seperti itu. Dalam hati dia memang mengakui pujian Norain itu memang ada benarnya.
          “ Aira….” Kedengaran suara seseorang di balik pintu bilik yang baru dibuka. Hairani yang sedang berkhayal itu segera menoleh. Dia tahu, itu suara Katija. Agaknya Katija baru pulang petang tadi.
          “ Ija..” Hairani bersuara perlahan. Segaris senyuman terukir di bibirnya.
          “ Seronoknya, esok kau dah nak nikah dah Aira. Tak sangka ye…jodoh kau dengan Abang Zizul pulak…” Katija melabuhkan punggung bersebelahan dengan Hairani. Hairani tersenyum pahit mendengar kata-kata kawannya itu. Wajah ceria Katija yang duduk bersebelahan dengannya itu diperhati dengan perasaan penuh jengkel.
          “ Kaulah punya pasal, sampai aku kena pinang Pak Aji tu. Tulah…pandai-pandai pulak tunjuk gambar aku pada mereka…” Omel Hairani, masih lagi memikirkan Katijalah punca segala kejadian yang menimpa dirinya kebelakangan ini. Kalau bukan kerana Katija, tidak akan Haji melihat gambarnya, dan kalau Haji tidak melihat gambarnya, pasti tidak akan timbul isu meminangnya dulu.
          “ Manalah aku tahu, gara-gara tu Abang Zizul terpikat dengan kau. Lagipun..gambar tu bukannya gambar baru pun, gambar lama…gambar zaman kita sekolah dulu-dulu…!” Katija menjuihkan bibirnya setelah berkata-kata. “ Eh…yang kau ni asyik panggil dia Pak Aji kenapa Aira ?” Soal Katija dengan riak hairan terpamer di wajahnya.
          “ Err…” Hairani tidak dapat menjawab. Malu hendak mengakui silap faham yang timbul dari dirinya sendiri. Memang tidak pernah ada orang pun yang mengatakan tunangnya itu pernah mengerjakan haji. Cuma salah fahamnya timbul disebabkan semua orang memanggil tunangnya itu Haji, menyebabkan dia memikirkan lelaki itu sudah mengerjakan haji. Tidak pernah pun dia terfikir, nama panggilan Haji itu adalah singkatan dari nama Hazizul..!
          “ Abang Zizul tu baik Aira…hensem…” Puji Katija lagi, dengan senyuman meleret hingga ke telinga.
          “ Yelah tu. Macam je hensem tu boleh buat orang bahagia..” Bidas Hairani. Tetap tidak mahu mengalah. Sedangkan di dalam hati, dia sendiri turut merasakan Hazizul layak dipuji sebegitu rupa.
          “ Kau ni kan Aira..dari awal bertunang dengan Abang Zizul tu, tak pernah aku dengar kau nak cakap baik-baik pasal dia. Ada-ada je yang tak kena..” Berkerut dahi Katija sewaktu memandangnya.
          “ Nak buat macam mana ? Nasib dialah dapat isteri yang jahat macam aku…ada mulut yang tak pernah puji bakal suami sendiri….” Tetap juga Hairani mahu melawan kata-kata Katija. Katija menggeleng kepala sendiri mendengar kata-kata Hairani itu.
          “ Iyelah tu, kau tu bila bercakap tak pernah nak mengalah. Asyik nak menang je. Eh…kau dah pernah jumpa Abang Zizul sebelum ni ke ?” Tanya Katija akhirnya, mungkin malas mahu bertekak dengan Hairani. Mendengar soalan Katija itu menyebabkan Hairani melepaskan satu helaan nafas yang panjang. Kemudian, perlahan-lahan dia menggelengkan kepala.
          “ Itulah kau…setiap kali aku bawa pergi rumah Mak Ngah, kau tak nak. Sepupu sendiri pun tak kenal…apalah kau ni…!!” Komen Katija. Hairani diam lagi. Kata Katija itu memang benar. Dia memang tidak pernah mahu menerima ajakan Katija setiap kali anak Mak Usunya itu mengajaknya pergi melawat Mak Ngahnya di bandar.  Berbagai alasan yang dia berikan, cuba menolak setiap ajakan Katija itu. Sebenarnya dia bukan anti atau bencikan Mak Ngah itu ataupun tidak mahu kenal sepupu-sepupu lelaki yang selama ini dia sendiri tidak pernah kenal, cuma dia malas hendak bermalaman di rumah orang yang dia sendiri tidak pernah rapati sejak kecil. Sehinggakan dia belajar di Kolej yang terletak di bandar yang sama tempat Mak Ngahnya tinggal pun, dia tidak pernah juga melawat keluarga emak saudaranya itu.
          Kau rapat ke dengan Pak Aji tu Ija..?” Soal Hairani tiba-tiba. Berkerut dahi Katija memandangnya.
          “ Kenapa kau panggil Abang Zizul tu Pak Aji ?” Untuk kesekian kalinya Katija menyoal satu soalan yang sama.
          “ Dia panggil Pak Aji sebab dia fikir Hazizul tu dah naik haji…dah tua…” Sampuk satu suara. Hairani menoleh lagi ke pintu biliknya. Kali ini dia pasti Norain yang menjawab soalan Katija tadi. Demi sahaja terpandang wajah Norain yang sedang menahan ketawa itu, segera dia menjengilkan matanya kepada Norain, dengan harapan Norain tidak akan bersuara lagi. Semakin banyak Norain bercakap, mahu pecah pula segala temberangnya selama ini yang melayan Hazizul dengan teruk. Katija tu pun bukannya boleh percaya sangat…lambat laun mahu cerita itu akan sampai ke telinga emaknya pula.
          “ Ooo..rupanya macam tu…! Kasihan Abang Zizul…tak pasal-pasal dapat tittle Pak Aji…” Katija tersengih.
          “ Aku pun fikir macam tu jugak Ija. Waktu dengar je Aira sebut nama Haji, aku memang imagine Haji tu lelaki tua…pakai serban, maklumlah…hajilah katakan….!” Sambung Norain, sambil duduk di lantai bilik, menghadap tepat kepada Katija dan Hairani.
          “ Ada pulak sampai ke situ kamu ni. Eh..sekarang ni, ramai lelaki yang muda-muda dah bergelar haji tahu tak ? Bukannya yang tua-tua je…! Hem…Aira, kalau nak tahu..di kalangan ahli keluarga je Abang Zizul tu dipanggil Haji. Dulu orang gaji yang kerja kat rumah mereka susah sangat nak sebut nama penuh dia..orang gaji tulah yang mula panggil dia Haji, singkat dan senang nak diingat katanya. Keluarga Mak Ngah pun panggil Abang Zizul macam tu jugak…” Jelas Katija, panjang lebar. Hairani mendengar tanpa menunjukkan sebarang reaksi. Sedangkan Norain sudah mengangguk, tanda faham kenapa Hazizul dipanggil dengan nama Haji.
          “ Hensem jugak Haji tu ye Ija…” Ada lagi seorang yang asyik memuji Hazizul tampan. Hairani merasakan tekaknya mual setiap kali Norain dan Katija asyik memuji Haji itu tampan. Entah apalah sangat yang ada pada ketampanan seseorang ..!
          “ Memang hensem pun. Antara lima orang mereka adik beradik, memang Abang Zizul yang paling hensem, lepas tu..Taufiq..lepas tu…Ikmal. Dua orang lagi abang dah kahwin…jadi tak perlu nak susah payah tahu tahap ketampanan mereka tu…” Ujar Katija sambil ketawa. Norain turut ketawa, sedangkan Hairani masih diam membatu.
          “ Ehh…Ija, Taufiq tu…dah ada girlfriend tak ?” Pulak ! Hairani mendengus dalam hati. Sekarang sudah sampai hingga ke episod soal siasat pulak Norain dan Katija. Katija apa lagi, begitu seronok melayan dan menjawab setiap soalan Norain. Dan dari perbualan Norain dan Katija itu, Hairani dapat mengenalpasti yang mana satu di antara adik bakal suaminya yang bernama Taufiq. Nampak gayanya, Taufiqlah lelaki yang dia marahi sewaktu di Bintang Plaza tempoh hari. Sekali lagi perasaan bersalah bersarang di benaknya. Malu sendiri dia kerana belum pun bergelar kakak ipar, dia sudah tunjuk belang pulak di depan Taufiq.

Cinta Kita - Bab 11


Hairani dan Norain baru sahaja keluar dari pintu kereta yang berhenti tidak jauh dari khemah kenduri di hadapan rumah mereka. Norain bukan main lagi ceria wajahnya apabila melihat suasana rumah mereka yang jelas kelihatan meriah. Malahan Norainlah yang menarik tangannya agar cepat-cepat keluar dari kereta yang Affiq pandu sewaktu mengambil mereka di perhentian bas tadi.
          Bestnya Aira..seronok !! Ramai orang….yang mana Pak Aji…?” Sejak tadi mulut Norain tidak henti-henti membebel. Hairani yang baru sahaja hendak melangkah ke rumah, hampir hendak tumbang ke tanah. Asal sahaja Norain menyebut nama Pak Aji, perasaannya terus tidak keruan. Jalannya juga sudah tidak stabil. Sendi kakinya sudah terasa longgar. Pendek kata, tubuhnya bagaikan mahu berkecai setiap kali mendengar nama Pak Aji disebut oleh Norain.
          “ Takkan yang itu kot ??” Bagaikan mahu terkeluar mata Hairani melihat lelaki yang memakai kopiah putih yang ditunjukkan oleh Norain sebentar tadi.
          “ Kau ni mengada betullah Ain. Takkanlah Pak Aji tua macam tu sangat…Pak Ngah aku pun lagi muda dari lelaki tua tu tau…” Hairani mencubit pinggang Norain. Geram apabila Norain menunjukkan lelaki tua tadi. Memang Norain sengaja mahu menyakatnya.
          “ Hehehe…janganlah marah…aku usik kau je. Takkanlah Haji setua tu…” Norain tersengih.
          “ Dah…cepat masuk..” Hairani menarik tangan Norain masuk ke pintu rumah. Sebaik sahaja masuk, Hairani dapat melihat emaknya sedang sibuk mengatur itu dan ini di dapur. Nampak gayanya emaknya memang tidak perasan akan kehadirannya di sana.
          “ Aira…! Dah lama sampai…?” Tegur satu suara. Hairani dan Norain serentak menoleh.
          “ Mak Ngah…! Saya baru je sampai…” Hairani tersenyum, cuba menunjukkan wajah yang manis di hadapan Mak Ngahnya. Norain turut tersenyum.
          “ Eh..Aira…pergi mandi, lepas tu pakai baju yang elok sikit…” Entah bila pula emaknya muncul dari dapur, lalu berbisik ke telinganya. Hairani mencebik. Emaknya itu, mata tajam nak mampus. Nasib baik, hari ini hari kenduri, kalau tidak mesti emaknya akan membebel seperti selalu apabila melihat pakaian yang dipakainya.
          “ Ya lah mak. Jomlah Ain..kita masuk..” Ajak Hairani, terus mahu menarik tangan Norain.


          Suasana pagi Jumaat semakin meriah. Norain sudah sibuk ke hulu dan hilir menolong apa yang patut. Hanya Hairani yang lebih banyak mengurungkan diri di dalam bilik. Di luar rumah, kelihatan pekerja yang diupah khas begitu sibuk dengan kerja menghias sebuah pentas khas yang dibina untuk dijadikan tempat pelamin untuk persandingan nanti. Hairani hanya memerhati keadaan yang sibuk itu dari sebalik tingkap biliknya.dengan satu pandangan yang tidak berperasaan, dingin dan hambar.
          “ Hairani…kau nampak tak kereta tu ? Camry hitam pak Ajilah…” Tergopoh gapah Norain berlari menghampirinya. Turun naik nafas kawannya itu kerana berlari sebentar tadi.
          “ Mana ?” Bingkas Hairani melihat ke arah yang ditunjukkan oleh Norain. Memang betul kata Norain, ada sebuah kereta Camry sedang memasuki perkarangan rumah mereka. Hairani memang sudah tidak dapat menahan rasa ingin tahunya untuk melihat wajah Pak Aji. Pada jangkaannya memang Pak Aji yang memandu kereta itu.
          “ Alamak…! Takkan dia…” Wajah Norain nampak keruh. Hairani yang melihat lelaki yang baru keluar dari kereta itu juga turut melopong. Dia masih ingat wajah lelaki itu, wajah lelaki yang sama yang dimarahi dan diherdiknya di Bintang Plaza tempoh hari. Takkanlah….!
          “ Tapi…tu…ada lelaki berserban pulak kat sebelah tu…” Kali ini wajah Hairani semakin pucat apabila mendengar suara Norain mengatakan tentang lelaki berserban yang duduk di sebelah kerusi pemandu. Kalau berdasarkan nama bakal suaminya iaitu Haji, mungkin lelaki yang berserban itu yang paling sesuai dikombinasikan dengan nama itu berbanding lelaki yang seorang lagi. Kala itu Hairani sudah terduduk di katil. Lemah segala sendi tubuhnya. Dia merasakan air matanya bagaikan mengalir dengan deras. Tuanya laki aku…!
          “ Janganlah menagis Aira…! Tak sangka sampai macam tu sekali rupa penampilan Haji…” Norain cuba memujuk. Hairani sudah tidak mampu bersuara. Hanya esak tangisnya sahaja yang kedengaran. Tidak menduga sama sekali begitu teruk citarasa emaknya menilai lelaki yang bakal bergelar suaminya. Takkan itu yang emaknya ‘rasa’ dia akan suka ????
          “ Kenapa dengan kau ni Aira..?” Soal emaknya yang tiba-tiba menjengah ke bilik.
          “ Tak ada apa-apa makcik..” Norain cuba mengalihkan perhatian emaknya.
          “ Sampai hati mak…bakal suami Aira setua tu ke mak…” Soal Hairani tatkala emaknya baru sahaja mahu melangkah pergi dari pintu bilik. Segera terhenti langkah orang tua itu. Berkedut dahi emaknya memandang wajah Hairani. Norain sudah mula serba-salah. Harapnya…Hairani tidak akan mengamuk !
          “ Siapa cakap suami kau tua ?” Soal emaknya kembali, masih lagi dahinya berkerut.
          “ Tu..yang baru sampai tu siapa kalau tak dia? Yang naik kereta Camry tu…” Hairani berterus-terang. Lagipun dia masih ingat, kereta itulah yang Pak Aji gunakan sewaktu berjanji mahu berjumpa dengannya di Bintang Plaza dulu.
          “ Mana ?” Emaknya melangkah menuju ke tingkap bilik, lalu melihat keluar.
          “ Yang baru sampai dengan Camry hitam tulah…” Tunjuk Hairani, turut berdiri bersebelahan dengan emaknya. Suaranya masih sengau.
          “ La..siapa cakap dia tu yang bakal jadi suami Aira ? Tu abang Haji…si Adam…” Beritahu emaknya sambil menarik nafas yang panjang.
          “ Iye ke makcik…yang tu tadi memang bukan Haji…?” Norain juga tidak sabar mahu tahu. Emaknya mengangguk untuk kesekian kalinya. Manakala Hairani betul-betul lega dengan penjelasan ibunya itu. Harapnya, biarlah ibunya tidak berbohong untuk menyedapkan hatinya. Dengan rasa yang sedikit tenang itu, dia kembali melabuhkan punggung di atas katilnya.
          “ Hah..tupun budak Haji tu dah datang…!” Beritahu emaknya sambil memandang Hairani, mungkin mengharap Hairani akan melihat sendiri wajah sebenar Haji.
          “ Aira…kau tengoklah…macam tak percaya…! Tak sangka Haji muda macam tu…” Hanya suara Norain yang kedengaran memuji Haji. Hairani masih lagi duduk di atas tilam, tidak mengendahkan siapa Haji yang dimaksudkan oleh emaknya dan Norain. Bukan apa…dia takut untuk melihat buat kali kedua…takut lebih dasyat pulak kesannya nanti.
          “ Cepat Aira, kau tengoklah..” Norain menarik tangan Hairani, menggesa agar Hairani sama-sama melihat di tingkap. Mahu tidak mahu, terpaksa juga Hairani menuruti Norain apabila Norain menarik tangannya.
          “ Mana satu ?” Hairani mencari. Entah yang mana satu lelaki yang bernama Haji itu. Dia masih lagi memerhati. Ada tidak ada, dia hanya perasan sebuah kereta Mitsubishi Lancer putih yang tidak pernah dia lihat dari kelmarin diletakkan di hadapan rumah. Dia dapat merasakan, sebelum ini dia seakan-akan pernah melihat kereta itu…tapi dia sendiri tidak ingat di mana..!
          “ Yang pakai kemeja hitam tu…” Pantas sahaja Norain menunjuk ke arah seorang lelaki yang masih berdiri bersebelahan dengan kereta Mitsubishi Lancer tadi, yang sedang berkumpul bersama dua orang lelaki yang sampai dengan Camry tadi. Kali ini Hairani betul-betul melopong. Dia rasa bagaikan tidak percaya.
          “ Tak nampak macam orang yang pernah naik haji pun mak..? Mak jangan nak tipu Aira mak..” Soal Hairani kepada emaknya, sedangkan matanya masih memerhati lelaki berkemeja hitam tadi.
          “ Siapa yang cakap dia pernah naik haji ? Tu nama panggilan dia je tu….Hazizul..disingkatkan jadi Haji….!!!” Terang emaknya dengan bersahaja. Hairani sungguh tidak percaya. Jadi..selama ini orang yang dia gelar Pak Aji sebenarnya tidak pernah pun naik haji ? Dia sahaja yang tersalah anggap. Pada perkiraannya Haji itu memang seorang lelaki yang sudah mengerjakan haji dan sudah lanjut usianya. Pendek kata, dia menganggap Haji itu bujang terlajak.
          Dan kenyataan yang ada di hadapan matanya sekarang terlalu jauh berbeza. Sungguh lelaki yang sedang menarik perhatiannya sekarang mempunyai penampilan yang jauh berbeza dari apa yang sering dia fikirkan selama ini. Lelaki itu begitu menarik…nampak bergaya dengan kemeja dan seluar slack hitamnya.
          “ Alamak…dia tengok kau lah Aira..” Norain mencuit bahu Hairani. Kala itu wajah Hairani sudah merah padam kerana tidak menduga lelaki itu sedang melihatnya. Bagai mahu pengsan dia apabila melihat Haji sedang tersenyum kepadanya. Alamak….!!!!
          Hairani terduduk semula di katil. Norain masih lagi tercegat di tingkap, agaknya masih memerhati Hazizul yang baru sampai itu.
          “ Cuba kau tengok betul-betul Aira…sekali pandang Haji tu macam Tom Cruise….” Ujar Norain, dengan harapan Hairani akan berdiri semula. Tapi Hairani yang masih diselubungi perasaan terkejut gara-gara baru melihat sendiri bagaimana rupanya orang yang bakal bergelar suaminya itu tetap juga duduk di katil. Sedikit pun dia tidak mahu berganjak.
          “ Dua kali pandang macam Brad Pit…”
          Hairani sudah mencebik bibir mendengar kata-kata Norain yang dirasakannya tidak masuk akal itu. Ada pulak sekali pandang macam Tom Cruise, dua kali pandang macam Brad Pit pulak. Kalau pandang kali ketiga entah macam siapa pula….?
          “ Tapi…bila pandang kali ketiga…macam pelakon tv yang semakin popular pulak…macam Azizan Nin…”
          Hairani sudah menjeling Norain. Jelas sekali mata kawannya itu masih tertumpu keluar, masih memerhati Haji agaknya. Entah apa sahajalah maksud Norain itu. Ada pula pandang kali ketiga macam M. Nasir…? Entah apa pulak persamaan di antara Tom Cruise, Brad Pit dan Azizan Nin sehinggakan Norain melihat imej ketiga-tiga personaliti popular itu pada wajah Haji.
          Dan baru sahaja beberapa langkah emaknya meninggalkan bilik, Norain bersuara lagi.
          “ Itulah kau Aira, dulu aku suruh kau belajar berbaik dengan Haji…cuba bercinta dengan dia, kau tak nak. Ini tak…apa yang aku tengok kau tu tak habis-habis melepaskan rasa marah kau kepada Haji. Sekarang tak ke menyesal kau dibuatnya ? Dahlah Haji tu hensem…kalaulah aku di tempat kau…sanggup aku abadikan seluruh hidup aku untuk dia..”
          Hairani masih seperti tadi, bungkam tidak bersuara. Kata-kata Norain mungkin ada betulnya. Tapi hendak buat macam mana, perkara dah jadi, takkan hendak putar balik masa yang dah berlalu tu ?