NuffNang Ads

Peminat ku.........

Kata-kata itu indah........

Orang yang banyak ketawa itu kurang wibawanya.
Orang yang suka menghina orang lain, dia juga akan dihina.
Orang yang mencintai akhirat, dunia pasti menyertainya.
Barangsiapa menjaga kehormatan orang lain, pasti kehormatan dirinya akan terjaga

Tuesday, February 22, 2011

Cinta Kita - Bab 4


Hari Sabtu sudah menjelang lagi. Norain awal-awal pagi lagi sudah menggamatkan suasana rumah sewa mereka dengan memasang cd lagu kumpulan Maroon 5. Bergema lagu She will be love  dendangan kumpulan itu diruang udara.
          Hairani berjalan keluar dari biliknya dengan rambut yang masih kusut kerana baru bangun dari tidur. Dia melihat jam yang melekat di dinding. Entah apa kejadahnya kawannya itu membuat bising awal-awal pagi begitu. Matanya yang masih kabur itu digosok agar kembali terang. Kembali lagi jam di dinding rumah menjadi bahan perhatiannya. Alamak…!!! Pukul 10:35 pagi…!!!
          “ Heh…apa tunggu lagi? Cepatlah mandi. Kan janji nak jumpa Pak Aji tu pukul 11:30, jangan lambat sangat Aira, hari ni hari Sabtu, bas selalu penuh..” Jerkah Norain yang baru muncul dari dapur sambil membawa semangkuk bihun goreng ke ruang tamu, lalu di simpan di atas meja yang berhadapan dengan televisyen.
          “ Kenapa kau tak bangunkan aku tadi Ain..??” Hairani sudah duduk mencangkung di hadapan pintu biliknya.
          “ Ala..sempat lagi tu. Cepatlah mandi..” Gesa Norain.
          “ Yelah..yelah..” Hairani bergegas masuk semula ke dalam biliknya, lalu mengambil tuala sebelum dia beredar ke bilik mandi. Tidak sampai lima belas minit, kelihatan Hairani keluar semula dengan rambut yang sudah basah. Norain yang sedang sibuk menjamah bihun goreng sambil menonton televisyen, tidak mengendahkan Hairani.
          “ Jomlah Ain..” Setelah hampir 10 minit, kelihatan Hairani keluar dari bilik. Melopong Norain melihat Hairani yang terlalu cepat bersiap, sedangkan dia masih menjamu selera untuk bersarapan.
          “ Cepatnya. Aku lagi nak makan ni. Eh..kenapa pakai jeans..? Pakailah baju kebaya Aira oii..kau tu bakal jumpa Pak Aji..” Bicara Norain dengan mulut yang masih berisi. Hairani sudah bercekak pinggang.
          “ Sudah. Jangan nak mengada-ngada. Sukahati akulah nak pakai apa pun..!! Kau tengok kat luar tu, panas bagai nak mati…kau nak aku lemas pakai kebaya?? Hish..tak pernah dibuat akulah keluar hari Sabtu berbaju kebaya !! Sudah..cepat kau makan..nanti terlewat..” Kali ini Hairani pula yang menggesa Norain. Tergopoh-gapah Norain menghabiskan mee gorengnya yang masih berbaki di pinggan.

          Suasana di Bintang Plaza masih sesak. Bukannya sesak dengan orang membeli belah, tetapi sesak kerana ramai remaja yang melepak. Almaklumlah…hari remaja sedunialah katakan..!!
          “ Mana ni Aira..dah lambatlah. Tak nampak pun kereta dia..” Berkerut sudah kening Norain memandang Hairani. Hairani menyeluk poket seluarnya, mengambil handphonenya. Sebenarnya dia pun sudah hampir hilang sabar, apabila orang yang mereka tunggu tak juga sampai-sampai. Bukan main lagi berjanji akan datang sebelum jam sebelas …!!
          “ Sabarlah sekejap Ain. Aku manalah tahu, Pak Aji pun pandai mungkir janji! Kalau aku tahu dia buat macam ni, takkan aku nak jumpa dia..” Hairani getap bibir, geram sendiri. Sudahlah beberapa hari sebelum ini dia ambil masa yang lama untuk berfikir, sama ada akan berjumpa dengan tunangnya itu atau pun tidak. Bila dia dah bersedia sepenuhnya untuk bertemu empat mata, Pak Aji itu pula buat hal…lambat datang….!!
          “ Hey..geram betul eku tengok lelaki tu Ain. Kalau ikutkan perut aku yang lapar ni, mahu je aku makan dia hidup-hidup. Macam tak pernah tengok perempuan je…!!!” Hairani menggerutu geram, sambil matanya tertancap ke arah lelaki yang sejak tadi memang dia sedari asyik memerhati ke arah dia dan Norain. Lelaki itu memang berpenampilan ringkas, hanya berseluar pendek separas lutut dan bert-shirt longgar berwarna hitam. Sekali imbas melihat wajahnya, memang nice looking.
          “ Jangan layanlah Aira. Baik kau cari lelaki yang pakai songkok haji..” Norain juga sudah serius wajahnya. Mungkin letih kerana terlalu lama berdiri menunggu di pintu masuk Bintang Plaza itu.
          “ Mana ada lelaki yang pakai songkok haji ni Ain…” Hairani sudah menghentak kaki.
          “ Alamak Aira..lelaki tu jalan ke sini..” Ain menyiku Hairani. Hairani turut menoleh kepada lelaki yang sejak tadi memerhati dia dan Ain. Memang jelas lelaki itu sedang senyum kepadanya, sambil melangkah menghampiri tempat dia dan Ain berdiri. Dia tidak membalas senyuman lelaki itu. Lagipun apa yang dia tahu, dia cuma menahan marah kerana Pak Aji yang tidak kunjung tiba itu. Tidak semena-mena pula kali ini dia dan Norain menjadi ‘pelepak’ di hadapan shopping complex gara-gara menunggu kedatangan pak Aji itu.
          “ Dahlah Ain. Kita pergi makan. Bertuah punya Pak Aji…nanti dia !!!” Hairani menarik tangan Ain, membawa Ain beredar dari situ. Sedikit pun dia tidak mengendahkan lelaki tadi yang sudah hampir kepada mereka.
          “ Tunggu sekejaplah Aira, dia lambat sikit kot..manalah tahu..traffic jam..” Ain menahan Hairani.
          “ Aku malas nak tunggu lagi. Lain kali, tahu dah ada janji tu, datanglah awal..” Hairani sudah malas mahu berkompromi lagi. Baginya hanya membuang masa menunggu Pak Aji di situ. Menambahkan sakit hatinya sahaja kalau terus berada di situ, bagaikan menunggu bulan yang jatuh ke riba !
          Sambil melangkah Hairani memegang perutnya yang sudah lama berkeroncong sejak tadi. Wajahnya yang putih itu sudah mula kemerahan kerana pancaran cahaya matahari yang terkena mukanya. Hairani semakin laju melangkah. Norain juga melangkah dengan pantas, cuba menyaingi langkah panjang Hairani yang sedang menuju ke KFC. Mulut Norain mula membebel. Bagaikan mahu semput nafasnya cuba mengejar langkah Hairani itu.
          Tiba-tiba tanpa diduga, Hairani berhenti melangkah. Norain yang begitu sibuk dengan bebelannya dan langkahnya yang pantas, tidak sempat berhenti melangkah apabila Hairani berbuat demikian. Bagaikan kereta yang putus ‘brek’, dia terus terlanggar tubuh kawannya itu. Norain dapat merasakan tubuhnya terawang-awang di udara sebelum dia dan Hairani serentak rebah ke lantai Bintang Plaza itu.
          “ Ain..kau ni…” Wajah Hairani sudah berkerut, seakan menahan sakit apabila kakinya ditimpa tubuh Norain.
          Sorry…sorry…Aira..” Pantas Norain bangkit semula. Merah juga wajahnya ketika itu, apabila menyedari betapa banyaknya mata yang tertumpu ke arah mereka berdua ketika itu.
          “ Aku badan besar macam ni pun kau boleh langgar ?” Hairani menjengilkan matanya melihat Norain. Berkali-kali Norain menelan liur sendiri.
          “ Manalah aku sempat nak berhenti, kau tu pun sama..tiba-tiba je berhenti, mana aku tak langgar…!” Kalut sekali wajah Norain, sambil memberanikan dirinya menjawab kata-kata Hairani. Wajah Hairani yang sudah bertambah merah itu diperhatinya dengan perasaan berbelah bagi. Memang silapnya juga kerana tidak melihat Hairani di hadapan sewaktu melangkah tadi.
          “ Awak berdua okey ke..?” Tanya satu suara tiba-tiba.  Norain dan Hairani yang sudah mula menyalahkan antara satu sama lain tadi serentak menoleh ke arah datangnya suara yang menegur mereka berdua itu.
          “ Eh..! Yang awak sibuk-sibuk ni kenapa? Pergilah..kami tak perlukan bantuan awak..” Herdik Hairani, tanpa mengendahkan kedatangan lelaki tadi yang mahu menghulurkan bantuan. Norain melopong mendengar herdikan Hairani itu. Itulah yang dia tidak suka tentang Hairani..bila sudah marah, semua orang yang ada di hadapan mata akan menjadi mangsa kemarahannya.
          “ Aira..tak baik cakap macam tu..” Norain sempat berbisik kepada Hairani. Dia tahu Hairani sekarang memang sudah ‘angin’ satu badan. Sudahlah Pak Aji mungkir janji. Lepas itu perut lapar dan kemudiannya ditambah lagi dengan insiden terjatuh tadi..semakin menjadilah kemarahan Hairani.
          “ Aku peduli apa !” Hairani mencebik, sempat menjeling tajam kepada lelaki tadi. Kiranya itulah lelaki yang asyik memerhati mereka sewaktu mereka berdiri di hadapan pintu masuk Bintang Plaza tadi. Tidak sangka pula sehingga ke situ lelaki itu mengejar mereka.
          “ Yang awak ni..kenapa pulak ? Dari tadi asyik ikut kami je!! Dah tak ada kerja lain ke..? Baik awak pergi sekarang sebelum saya telefon polis…!!!” Pulak…!!! Hingga ke situ pula fikiran Hairani. Sampai nak melibatkan polis pula dalam perkara sekecil itu?? Rasanya ketika itu Norain mahu bersembunyi. Terasa malu pula dengan tingkah terburu-buru Hairani mengugut lelaki tadi. Sedangkan lelaki itu tetap memandang mereka berdua dengan penuh selamba. Cuma apabila melihat Hairani yang sedang menyinga itu menyebabkan senyuman lelaki itu terus pudar. Mungkin sudah perasan, kedatangannya bukan pada masa yang tepat..sewaktu Hairani sedang melayan perasaan marahnya ! Norain menarik nafas dalam-dalam. Kasihan lelaki itu ! Bantuan yang mahu dihulurkan, dibalas Hairani dengan herdikan dan maki hamun pula. Semua ini Pak Aji punya pasal…menyebabkan semua orang menjadi mangsa kemarahan Hairani.
          “ Jangan salah faham. Sebenarnya saya….” Kiranya lelaki itu masih mahu bersuara.
          “ Sudah ! Jangan nak menyibuk kat sini. Kami tak perlukan bantuan atau apa pun. Tengok ni..kami masih sihat lagi dan tak pelukan pertolongan awak..!! Potong Hairani dengan suara yang semakin meninggi.
          “ Bang..baik abang pergi, sebelum kawan saya tu bertambah marah..” Norain menghampiri lelaki itu, lalu meminta agar lelaki itu beredar. Lelaki itu tidak lagi bersuara, sebaliknya hanya menjungkit bahu, dan kemudiannya beredar perlahan dari tempat tersebut. Norain menarik nafas lega, sekurang-kurangnya lelaki itu terlepas dari menjadi mangsa kemarahan Hairani itu. Hairani yang melihat lelaki itu beredar hanya mendengus marah.
          “ Sudahlah tu Aira, sekalipun kau marahkan Pak Aji sebab dia lambat datang, janganlah sampai orang lain jadi mangsa kau. Tak kesian ke tengok lelaki tadi tu..dia ikhlas nak tolong kita..” Nasihat Norain, dengan suara yang tertahan-tahan.
          “ Aku peduli apa ! Nasib dialah kena marah. Dah..jom kita makan di Imperial Mall je, sesak nafas aku lama-lama kat sini…” Sekali lagi Hairani menarik tangan Norain agar menurutinya beredar dari tempat tersebut. Norain tiada pilihan lain, selain dari hanya menuruti sahaja kemahuan Hairani. Tidak guna kalau mahu melawan kata-kata Hairani ketika itu, mengusutkan fikiran sahaja mendengar bebelan Hairani nanti. Dan sewaktu mereka melalui tempat letak kereta di luar Bintang Plaza itu, mata Norain terus tertumpu ke satu arah.
          “ Aira..tu kereta Pak Ajikan..?” Soal Norain sambil menunjuk ke sebuah kereta Camry hitam yang diletakkan tidak jauh dari tempat mereka berhenti itu. Hairani sudah berpusing 360 darjah demi sahaja mendengar nama Pak Aji dibangkitkan.
          “ Mana ?” Soal Hairani.
          “ Tu..yang hitam tu, nombor dia..QMC 2803..” Tunjuk Norain dengan penuh yakin. Lagipun dia memang ingat sangat kata-kata Hairani sebelum mereka keluar dari pintu rumah tadi. Pak Aji akan datang dengan menaiki Camry hitam dan nombor keretanya QMC 2803. Kelihatannya Hairani tidak bersuara. Sebaliknya dia menyeluk poket seluar, lalu mengeluarkan handphonenya. Hairani menekan punat-punat kecil di telefon bimbitnya, seolah-olah mendail nombor seseorang. Norain yang tidak faham apa-apa itu hanya melihat sahaja kelakuan Hairani.
          “ Hello Pak Aji…” Nyaring suara Hairani bercakap. Norain telan liur lagi sekali. Rupanya Hairani menelefon Pak Aji sebaik sahaja melihat kereta orang tua itu tadi. Nampak gayanya, ada lagi orang yang akan menjadi mangsa kemarahan Hairani.
          “ Pak Aji..ni saya nak cakap, saya tak nak jumpa awak lagi. Buang masa dan tenaga je saya tunggu awak lama-lama. Lain kali tahu dah ada janji, datanglah awal sikit. Saya paling tak suka orang buat saya tertunggu-tunggu. Apa…awak ingat saya ni macam Statue of Liberty ke nak berdiri lama depan Bintang Plaza ni? Makan je awak sorang-sorang kat sana….”
          Norain menarik nafas dalam-dalam. Terasa bagaikan mahu naik pula tekanan darahnya terkena bahang kemarahan Hairani. Terasa bersalah pula apabila mendengar bicara kasar Hairani kepada tunangnya itu. Kalaulah dia tahu Hairani akan memaki Pak Aji sebegitu rupa, memang dia tidak akan memberitahu Hairani tentang kereta Pak Aji tadi.

No comments:

Post a Comment