Cuaca masih mendung di luar rumah sewa. Hairani masih lagi berdiri di depan pintu rumahnya. Hatinya sudah berbelah bagi, sama ada mahu turun ke kelas atau tidak.
“ Heh..apa yang dok termenung kat sana tu? Tunggu tunang kau datang untuk jemput kau ke kuliah ke?” Perli Norain yang sudah bersiap sedia dengan begnya, untuk berjalan ke kolej yang terletak tidak jauh dari rumah sewa mereka itu. Hairani menjuihkan bibirnya. Geram dia apabila Norain suka menyebut perkataan ‘tunang’ itu setiap kali memperlinya.
“ Mengada betul kau ni Ain. Jangan haraplah aku nak minta tunang aku tu ambil aku, buat malu aku je. Mahu tak hensem..” Selamba betul bicara itu keluar dari bibir Hairani. Norain menggeleng kepala mendengar kata-katanya sebentar tadi.
“ Tak baik cakap macam tu tau. Seburuk manapun dia, dia tetap tunang kau..bakal jadi laki kau. Macamlah kau pernah tengok muka dia sampaikan kau kutuk dia macam tu!” Bidas Norain.
“ Aku dapat rasa, dia tu macam mana orangnya. Pendek kata, aku rasa dia memang bukan taste aku..” Sahut Hairani, membalas bidasan kawannya tadi.
“ Iyelah. Bukan taste kaulah konon. Kau jangan lupa, this weekend korang janji nak jumpa kan? Kau tengok betul-betul muka dia nanti. Kalau dia hensem, kau jangan pulak menyesal sebab selama ni kau sangka rupa dia buruk..!!” Sindir Norain, sambil menyarungkan sandle ke kakinya. Sempat dia mencapai payung yang diletaknya bersebelahan dengan daun pintu sebentar tadi.
Hairani merungut dalam hati. Semakin geram dia apabila Norain asyik menangkan si Haji itu setiap kali tunangnya itu jadi bahan perbualan mereka. Semakin sesak rasa nafas di dadanya apabila teringat yang hujung minggu nanti dia ada janji untuk berjumpa dengan Haji itu di luar. Kalau ikutkan dia, memang dia malas mahu jumpa lelaki itu. Tapi emaknya yang memaksa, siap telefon dari kampung lagi untuk memastikan dia berjumpa dengan Haji itu nanti. Kalau tidak diturut kata emaknya itu, mahu berasap telinganya kena sembur nanti.
“ Hah..kenapa dengan kau ni Aira? Pantang dibiar sekejap, mesti termenung. Kau tak nak turun kuliah ke?” Berkerut dahi Norain memandang Hairani.
“ Pergi..” Barulah dia seakan tersedar dari khayalannya.
“ Ha..cepatlah. Dah lambat dah ni. Bukan kau tak tahu, lecturer yang ajar accounting theory tu selalu masuk kelas awal dari student dia. Jom..cepat !! Nanti hujan pulak..” Gesa Norain, agar Hairani cepat bersiap. Baru dia perasan yang awan sudah mula berarak mendung pagi itu, seakan menandakan hujan yang akan turun pada bila-bila masa.
“ Yelah..tinggal nak pakai kasut je ni..” Hairani bergegas mengekori langkah Norain yang pantas itu. Norain memang begitu, kalau pasal turun ke kelas, dia memang tidak mahu terlambat.
Sementara itu, Hairani masih juga leka berkhayal biarpun waktu itu dia sedang menapak perlahan mengekori langkah Norain. Sebenarnya dia masih gelisah, mengingatkan temujanjinya hujung minggu ini dengan si Haji itu. Kalau diikutkan hati, dia malas mahu pergi. Biarlah dia hanya melihat wajah bakal suaminya itu nanti di saat menjelang hari pernikahannya. Kenal sekarang atau kemudian, tidak ada bezanya. Tetap juga lelaki itu akan menjadi suaminya.
Truuuuttt….
Telefon Sony Erricson miliknya berdering. Pantas Hairani meraba poket begnya, di mana dia meletak handphonenya. Sekilas dia melihat nombor yang terpampang di skrin telefon. Hatinya merungut lagi. Dia memang tidak tahu itu nombor siapa.
“ Hello..” Tetap juga panggilan itu dijawab, biarpun dia tertanya-tanya itu panggilan daripada siapa.
“ Hello..Hairani ke ni?” Kedengaran suara lelaki bercakap di dalam telefon. Langkah Hairani segera terhenti. Suara itu pun memang dia tidak kenal. Dia memandang Norain yang turut berhenti melangkah. Norain menjungkit kening memandang Hairani, sebagai isyarat bertanya siapa yang membuat panggilan telefon, tetapi Hairani hanya menjungkit bahu menandakan dia sendiri tidak tahu.
“ Ye..saya Hairani. Ini siapa?” Wajahnya penuh dengan tanda soalan.
“ Saya ni..tunang awak..” suara itu memperkenalkan dirinya. Dahi Hairani berkerut lagi.
“ Awak..? Eh..mana awak dapat nombor telefon saya ni? Apahal telefon saya ? Saya nak cepat ni..ada kelas..” Sebaik sahaja suara itu memperkenalkan dirinya sebagai tunang Hairani, serta merta Hairani mencari alasan untuk tidak bercakap lama dengan orang tersebut. Dalam hati dia merungut lagi. Ini mesti emak punya pasal..kalau tak dia yang kasi, siapa lagi informer yang akan memberi nombor telefonnya kepada Haji?? Dengan Affiq sendiri dia telah memberi amaran awal-awal, jangan sesekali memberi nombor telefon bimbitnya kepada tunangnya itu sekiranya ada di kalangan ahli keluarga tunangnya itu bertanya.
“ Saya dah berada di kawasan rumah tempat awak tinggal ni. Nak saya hantarkan awak turun ke kolej?” Pelawa suara itu lagi.
“ Eh..tak payah susah-susah. Saya ni masih ada tulang empat kerat yang boleh saya guna. Masih kuat lagi ni nak jalan kaki ke kolej. Lagipun..tempat tinggal saya bukan jauh dengan kolej pun..” Pantas Hairani menolak. Hantar ke kolej konon !! Jangan haraplah dia akan membenarkan tunangnya itu menunjukkan muka di kolej. Nanti tak pasal-pasal dia dikata ada affair dengan orang tua pula!
“ Ala..apa salahnya. Saya kebetulan lalu rumah awak ni..” Suara lelaki itu gemersik menerawang ke dalam pendengaran Hairani, seakan memujuk pula. Hairani mencebik.
“ Saya kata tak payah..maksudnya..tak payahlah. Tak reti bahasa ke? Dahlah..saya tak ada masa nak cakap dengan awak. Bye..” Pantas panggilan tadi dimatikan. Baru puas hatinya. Sebenarnya, inilah kali pertama dia bercakap dan mendengar sendiri suara tunangnya itu. Nasib baik juga dia mempunyai kekuatan untuk menolak pelawaan lelaki itu tadi.
“ Heh..apa yang kau asyik tengok tu Ain? Macam bangau patah leher je..” Tegur Hairani setelah meletakkan semula handphonenya ke dalam beg. Hairan pula dia apabila mendapati Norain kelihatan seperti asyik memerhati seseorang.
“ Handsome lelaki kat seberang tu Aira..” Puji Norain dalam tidak sedar.
“ Mana?” Soal Hairani, turut mengecilkan matanya dan melihat ke arah yang diperhati Norain tadi.
“ Tu..dalam kereta Mitsubishi Lancer putih tu..” Beritahu Norain lagi, tanpa memandang Hairani. cuma kakinya sahaja bergerak perlahan, melangkah lagi setapak ke hadapan.
“ Tak nampaklah..” Hairani hampa, kerana tidak dapat melihat orang tersebut. Kebetulan Mitsubishi Lancer yang baru sahaja dilihatnya telah menaikkan cermin kereta yang berwarna hitam itu.
“ Lambatlah kau. Dia dah naikkan cermin kereta dia pulak. Tapi..betul Aira..hensem..” Tidak lekang perkataan hensem itu dari bibir Norain, memuji ketampanan lelaki yang dilihatnya dalam kereta tadi.
“ Iyelah tu. Kau bernasib baiklah tu, dapat tengok lelaki hensem awal-awal pagi. Aku ni..entah apa pulak nasib, dapat call dari Pak Aji tu, offer diri nak hantar aku ke kolej..” Adu Hairani, dengan wajah yang kembali mencuka.
“ Iye..kenapa tak terima je? Boleh jugak aku tumpang sekaki..” Sahut Norain endah tak endah. Sedangkan mata Norain leka memerhati kereta Mitsubishi Lancer putih tadi yang sedang bergerak perlahan melepasi tempat mereka berdiri.
“ Kau jelah naik kereta dia. Aku tak nak..” Hairani mencebik.
“ Aii..jual mahal nampak!! Kalau aku, aku terima je pelawaan dia tadi tu..”
“ Ahh..tak naklah Ain. Tak dapat aku bayangkan aku duduk bersebelahan dengan orang tua yang berjanggut panjang..pakai topi haji..”
“ La…..kerana tu aje kau tolak pelawaan dia? Apalah kau ni..muda ke tua, tetap juga tak lama lagi dia jadi laki kau. Kau punya taste ni memang tak up to date lah. Perempuan sekarang ni, makin tua..itulah yang mereka suka. Poket berisi beb..itu yang penting..” Panjang berjela Norain membebel. Kemudian dia sendiri ketawa panjang, seolah memperli Hairani. Hairani menjeling Norain dengan ekor matanya.
“ Itu pendapat kau. Aku punya taste, memang tak sama dengan taste kau. Aku tak nak orang tua..yang terlalu jauh beza umurnya dengan aku. Dan lagi satu, tak kiralah sama ada dia tu tunang aku ke..laki aku ke..itu tak bermakna dia bebas nak hantar or tunjuk muka dia di kolej..! Kau tengoklah nanti, lepas kahwin aku tak akan tinggal serumah dengan dia. Aku tetap juga tinggal dengan kau..” Hairani melangkah semula.
“ Apalah kau ni Aira. Susah aku nak faham. Baik tak payah kahwin kalau tak nak tinggal serumah dengan laki…” Norain geleng kepala sendiri.
“ Biarlah. Aku peduli apa..” Hairani berkata selamba. Norain juga kelihatan malas mahu bersuara lagi. Dan seketika kemudian, langkah mereka berdua terhenti apabila ada sebuah kereta Perdana V6 berhenti bersebelahan dengan mereka.
“ Hairani..” Panggil orang yang berada di dalam kereta. Hairani tidak terus menoleh, sebaliknya Norain yang berpaling sebaik mendengar nama Hairani yang dipanggil. Berkerut wajah kawannya apabila melihat Aiman yang berada di dalam kereta itu. Hairani sudah tidak keruan. Dia ingatkan biarlah selamanya Norain tidak akan tahu tentang dia dan Aiman, tapi sekarang..lain pula yang jadi. Mesti Norain akan bertanya nanti, kenapa Aiman seperti akrab pula dengan dirinya. Aiman pun satu…!
“ Aiman…” Norain senyum meleret. Hairani menoleh sekilas kepada Aiman yang sedang melihatnya.
“ Awak berdua nak ke kolej ke? Jom..naik sekali..” Pelawa Aiman.
“ Tak payahlah….” Hairani menolak. Sebenarnya dia sendiri pun agak terkejut apabila mendapati kereta Aiman berhenti di situ.
“ Err…boleh..boleh…saya dah penat berjalan ni..” Pantas Norain mencelah sebelum Hairani sempat menghabiskan ayatnya. Aiman sudah tersenyum, sedangkan wajah Hairani sudah masam-masam manis melihat Aiman. Bertuah punya Norain…!!!
“ Masuklah..” Aiman senyum lagi, menampakkan lesung pipit di kedua-dua belah pipinya. Norain dengan tidak malunya, terus sahaja mengambil tempat duduk di belakang. Hairani juga sama membuka pintu di belakang. Kalau boleh dia memang tidak mahu duduk bersebelahan dengan Aiman.
“ Eh..kau duduk depanlah Aira..takkan kau nak Aiman jadi driver kot?” Arah Norain dengan selamba. Hairani getap bibir lagi. Sekali lagi dia terkena oleh Norain.
“ Kaulah Ain..aku duduk belakang je..” Hairani berdegil.
“ Kaulah…” Tanpa mengendahkan Hairani, Norain terus duduk di belakang.
“ Ala…Hairani, duduk jelah kat depan ni. Man bukan nak makan Aira pun…” Kala itu Hairani rasa bagaikan mahu pengsan di situ juga. Aiman memang tidak boleh diharap untuk menyimpan rahsia. Sekarang Aiman sudah membahasakan dirinya ‘Man’ dan memanggilnya ‘Aira’ pula.
“ Masuklah..” Sekali lagi Aiman memanggilnya. Menyedari dia masih berdiri di depan pintu, akhirnya dia masuk juga ke dalam kereta Aiman. Wajahnya sudah merona merah apabila melihat Norain yang memandangnya dengan wajah yang seakan penuh dengan tanda tanya.
“ Amboi..macam mesra je nampak..! Do I missing something..?” Pulak!! Kalaulah tidak kerana dia sedang duduk bersebelahan dengan Aiman, pasti Hairani akan menepuk dahi ketika itu juga. Memang betul jangkaannya, Norain pasti akan bertanya tentang mereka. Bukan Norain namanya kalau perempuan itu hanya duduk berdiam diri !!
“ Ala..kau ni Ain, boleh duduk diam sikit tak??” Hairani sudah berpaling ke belakang, berbisik dengan suara perlahan tapi tajam pada pendengaran Norain. Sengaja Hairani menjengilkan matanya kepada Norain, dengan harapan Norain tidak akan bertanya apa-apa lagi.
“ Okey..okey…” Norain seakan faham, seraya mengangguk. Hairani baru dapat menarik nafas lega. Waktu itu sempat juga dia melihat Aiman yang sedang asyik memandu itu dengan ekor matanya.
No comments:
Post a Comment