NuffNang Ads

Peminat ku.........

Kata-kata itu indah........

Orang yang banyak ketawa itu kurang wibawanya.
Orang yang suka menghina orang lain, dia juga akan dihina.
Orang yang mencintai akhirat, dunia pasti menyertainya.
Barangsiapa menjaga kehormatan orang lain, pasti kehormatan dirinya akan terjaga

Wednesday, March 9, 2011

Cinta Kita - Bab 11


Hairani merasakan serba-serbi perkara yang dibuatnya serba tidak kena. Perasaannya begitu berkecamuk setelah melihat wajah sebenar Haji sebentar tadi. Segera segala kata-kata yang pernah dia lafazkan kepada Haji terimbau semula dalam ingatannya. Malu sendiri dia apabila mengingatkan semula semua kata-kata kasarnya terhadap Haji. Paling dia tidak dapat lupa, dia sendiri memanggil tunangnya itu Pak Aji. Ini Norainlah yang punya pasal…dia yang mula menggelar Haji itu Pak Aji, hingga akhirnya dia sendiri menggunakan gelaran itu untuk memanggil Haji setiap kali lelaki itu menghubunginya.
          “ Hensemnya dia Aira…tak rugi kau dapat jadi isteri dia…” Masih dia ingat kata-kata pujian yang dilafazkan oleh Ain sewaktu mereka melihat wajah Haji tadi. Sebenarnya kala itu dia sudah tidak mampu hendak berkata apa-apa, kerana dia sendiri tidak pernah menjangka bakal suaminya itu mempunyai personaliti yang menarik seperti itu. Dalam hati dia memang mengakui pujian Norain itu memang ada benarnya.
          “ Aira….” Kedengaran suara seseorang di balik pintu bilik yang baru dibuka. Hairani yang sedang berkhayal itu segera menoleh. Dia tahu, itu suara Katija. Agaknya Katija baru pulang petang tadi.
          “ Ija..” Hairani bersuara perlahan. Segaris senyuman terukir di bibirnya.
          “ Seronoknya, esok kau dah nak nikah dah Aira. Tak sangka ye…jodoh kau dengan Abang Zizul pulak…” Katija melabuhkan punggung bersebelahan dengan Hairani. Hairani tersenyum pahit mendengar kata-kata kawannya itu. Wajah ceria Katija yang duduk bersebelahan dengannya itu diperhati dengan perasaan penuh jengkel.
          “ Kaulah punya pasal, sampai aku kena pinang Pak Aji tu. Tulah…pandai-pandai pulak tunjuk gambar aku pada mereka…” Omel Hairani, masih lagi memikirkan Katijalah punca segala kejadian yang menimpa dirinya kebelakangan ini. Kalau bukan kerana Katija, tidak akan Haji melihat gambarnya, dan kalau Haji tidak melihat gambarnya, pasti tidak akan timbul isu meminangnya dulu.
          “ Manalah aku tahu, gara-gara tu Abang Zizul terpikat dengan kau. Lagipun..gambar tu bukannya gambar baru pun, gambar lama…gambar zaman kita sekolah dulu-dulu…!” Katija menjuihkan bibirnya setelah berkata-kata. “ Eh…yang kau ni asyik panggil dia Pak Aji kenapa Aira ?” Soal Katija dengan riak hairan terpamer di wajahnya.
          “ Err…” Hairani tidak dapat menjawab. Malu hendak mengakui silap faham yang timbul dari dirinya sendiri. Memang tidak pernah ada orang pun yang mengatakan tunangnya itu pernah mengerjakan haji. Cuma salah fahamnya timbul disebabkan semua orang memanggil tunangnya itu Haji, menyebabkan dia memikirkan lelaki itu sudah mengerjakan haji. Tidak pernah pun dia terfikir, nama panggilan Haji itu adalah singkatan dari nama Hazizul..!
          “ Abang Zizul tu baik Aira…hensem…” Puji Katija lagi, dengan senyuman meleret hingga ke telinga.
          “ Yelah tu. Macam je hensem tu boleh buat orang bahagia..” Bidas Hairani. Tetap tidak mahu mengalah. Sedangkan di dalam hati, dia sendiri turut merasakan Hazizul layak dipuji sebegitu rupa.
          “ Kau ni kan Aira..dari awal bertunang dengan Abang Zizul tu, tak pernah aku dengar kau nak cakap baik-baik pasal dia. Ada-ada je yang tak kena..” Berkerut dahi Katija sewaktu memandangnya.
          “ Nak buat macam mana ? Nasib dialah dapat isteri yang jahat macam aku…ada mulut yang tak pernah puji bakal suami sendiri….” Tetap juga Hairani mahu melawan kata-kata Katija. Katija menggeleng kepala sendiri mendengar kata-kata Hairani itu.
          “ Iyelah tu, kau tu bila bercakap tak pernah nak mengalah. Asyik nak menang je. Eh…kau dah pernah jumpa Abang Zizul sebelum ni ke ?” Tanya Katija akhirnya, mungkin malas mahu bertekak dengan Hairani. Mendengar soalan Katija itu menyebabkan Hairani melepaskan satu helaan nafas yang panjang. Kemudian, perlahan-lahan dia menggelengkan kepala.
          “ Itulah kau…setiap kali aku bawa pergi rumah Mak Ngah, kau tak nak. Sepupu sendiri pun tak kenal…apalah kau ni…!!” Komen Katija. Hairani diam lagi. Kata Katija itu memang benar. Dia memang tidak pernah mahu menerima ajakan Katija setiap kali anak Mak Usunya itu mengajaknya pergi melawat Mak Ngahnya di bandar.  Berbagai alasan yang dia berikan, cuba menolak setiap ajakan Katija itu. Sebenarnya dia bukan anti atau bencikan Mak Ngah itu ataupun tidak mahu kenal sepupu-sepupu lelaki yang selama ini dia sendiri tidak pernah kenal, cuma dia malas hendak bermalaman di rumah orang yang dia sendiri tidak pernah rapati sejak kecil. Sehinggakan dia belajar di Kolej yang terletak di bandar yang sama tempat Mak Ngahnya tinggal pun, dia tidak pernah juga melawat keluarga emak saudaranya itu.
          Kau rapat ke dengan Pak Aji tu Ija..?” Soal Hairani tiba-tiba. Berkerut dahi Katija memandangnya.
          “ Kenapa kau panggil Abang Zizul tu Pak Aji ?” Untuk kesekian kalinya Katija menyoal satu soalan yang sama.
          “ Dia panggil Pak Aji sebab dia fikir Hazizul tu dah naik haji…dah tua…” Sampuk satu suara. Hairani menoleh lagi ke pintu biliknya. Kali ini dia pasti Norain yang menjawab soalan Katija tadi. Demi sahaja terpandang wajah Norain yang sedang menahan ketawa itu, segera dia menjengilkan matanya kepada Norain, dengan harapan Norain tidak akan bersuara lagi. Semakin banyak Norain bercakap, mahu pecah pula segala temberangnya selama ini yang melayan Hazizul dengan teruk. Katija tu pun bukannya boleh percaya sangat…lambat laun mahu cerita itu akan sampai ke telinga emaknya pula.
          “ Ooo..rupanya macam tu…! Kasihan Abang Zizul…tak pasal-pasal dapat tittle Pak Aji…” Katija tersengih.
          “ Aku pun fikir macam tu jugak Ija. Waktu dengar je Aira sebut nama Haji, aku memang imagine Haji tu lelaki tua…pakai serban, maklumlah…hajilah katakan….!” Sambung Norain, sambil duduk di lantai bilik, menghadap tepat kepada Katija dan Hairani.
          “ Ada pulak sampai ke situ kamu ni. Eh..sekarang ni, ramai lelaki yang muda-muda dah bergelar haji tahu tak ? Bukannya yang tua-tua je…! Hem…Aira, kalau nak tahu..di kalangan ahli keluarga je Abang Zizul tu dipanggil Haji. Dulu orang gaji yang kerja kat rumah mereka susah sangat nak sebut nama penuh dia..orang gaji tulah yang mula panggil dia Haji, singkat dan senang nak diingat katanya. Keluarga Mak Ngah pun panggil Abang Zizul macam tu jugak…” Jelas Katija, panjang lebar. Hairani mendengar tanpa menunjukkan sebarang reaksi. Sedangkan Norain sudah mengangguk, tanda faham kenapa Hazizul dipanggil dengan nama Haji.
          “ Hensem jugak Haji tu ye Ija…” Ada lagi seorang yang asyik memuji Hazizul tampan. Hairani merasakan tekaknya mual setiap kali Norain dan Katija asyik memuji Haji itu tampan. Entah apalah sangat yang ada pada ketampanan seseorang ..!
          “ Memang hensem pun. Antara lima orang mereka adik beradik, memang Abang Zizul yang paling hensem, lepas tu..Taufiq..lepas tu…Ikmal. Dua orang lagi abang dah kahwin…jadi tak perlu nak susah payah tahu tahap ketampanan mereka tu…” Ujar Katija sambil ketawa. Norain turut ketawa, sedangkan Hairani masih diam membatu.
          “ Ehh…Ija, Taufiq tu…dah ada girlfriend tak ?” Pulak ! Hairani mendengus dalam hati. Sekarang sudah sampai hingga ke episod soal siasat pulak Norain dan Katija. Katija apa lagi, begitu seronok melayan dan menjawab setiap soalan Norain. Dan dari perbualan Norain dan Katija itu, Hairani dapat mengenalpasti yang mana satu di antara adik bakal suaminya yang bernama Taufiq. Nampak gayanya, Taufiqlah lelaki yang dia marahi sewaktu di Bintang Plaza tempoh hari. Sekali lagi perasaan bersalah bersarang di benaknya. Malu sendiri dia kerana belum pun bergelar kakak ipar, dia sudah tunjuk belang pulak di depan Taufiq.

Cinta Kita - Bab 11


Hairani dan Norain baru sahaja keluar dari pintu kereta yang berhenti tidak jauh dari khemah kenduri di hadapan rumah mereka. Norain bukan main lagi ceria wajahnya apabila melihat suasana rumah mereka yang jelas kelihatan meriah. Malahan Norainlah yang menarik tangannya agar cepat-cepat keluar dari kereta yang Affiq pandu sewaktu mengambil mereka di perhentian bas tadi.
          Bestnya Aira..seronok !! Ramai orang….yang mana Pak Aji…?” Sejak tadi mulut Norain tidak henti-henti membebel. Hairani yang baru sahaja hendak melangkah ke rumah, hampir hendak tumbang ke tanah. Asal sahaja Norain menyebut nama Pak Aji, perasaannya terus tidak keruan. Jalannya juga sudah tidak stabil. Sendi kakinya sudah terasa longgar. Pendek kata, tubuhnya bagaikan mahu berkecai setiap kali mendengar nama Pak Aji disebut oleh Norain.
          “ Takkan yang itu kot ??” Bagaikan mahu terkeluar mata Hairani melihat lelaki yang memakai kopiah putih yang ditunjukkan oleh Norain sebentar tadi.
          “ Kau ni mengada betullah Ain. Takkanlah Pak Aji tua macam tu sangat…Pak Ngah aku pun lagi muda dari lelaki tua tu tau…” Hairani mencubit pinggang Norain. Geram apabila Norain menunjukkan lelaki tua tadi. Memang Norain sengaja mahu menyakatnya.
          “ Hehehe…janganlah marah…aku usik kau je. Takkanlah Haji setua tu…” Norain tersengih.
          “ Dah…cepat masuk..” Hairani menarik tangan Norain masuk ke pintu rumah. Sebaik sahaja masuk, Hairani dapat melihat emaknya sedang sibuk mengatur itu dan ini di dapur. Nampak gayanya emaknya memang tidak perasan akan kehadirannya di sana.
          “ Aira…! Dah lama sampai…?” Tegur satu suara. Hairani dan Norain serentak menoleh.
          “ Mak Ngah…! Saya baru je sampai…” Hairani tersenyum, cuba menunjukkan wajah yang manis di hadapan Mak Ngahnya. Norain turut tersenyum.
          “ Eh..Aira…pergi mandi, lepas tu pakai baju yang elok sikit…” Entah bila pula emaknya muncul dari dapur, lalu berbisik ke telinganya. Hairani mencebik. Emaknya itu, mata tajam nak mampus. Nasib baik, hari ini hari kenduri, kalau tidak mesti emaknya akan membebel seperti selalu apabila melihat pakaian yang dipakainya.
          “ Ya lah mak. Jomlah Ain..kita masuk..” Ajak Hairani, terus mahu menarik tangan Norain.


          Suasana pagi Jumaat semakin meriah. Norain sudah sibuk ke hulu dan hilir menolong apa yang patut. Hanya Hairani yang lebih banyak mengurungkan diri di dalam bilik. Di luar rumah, kelihatan pekerja yang diupah khas begitu sibuk dengan kerja menghias sebuah pentas khas yang dibina untuk dijadikan tempat pelamin untuk persandingan nanti. Hairani hanya memerhati keadaan yang sibuk itu dari sebalik tingkap biliknya.dengan satu pandangan yang tidak berperasaan, dingin dan hambar.
          “ Hairani…kau nampak tak kereta tu ? Camry hitam pak Ajilah…” Tergopoh gapah Norain berlari menghampirinya. Turun naik nafas kawannya itu kerana berlari sebentar tadi.
          “ Mana ?” Bingkas Hairani melihat ke arah yang ditunjukkan oleh Norain. Memang betul kata Norain, ada sebuah kereta Camry sedang memasuki perkarangan rumah mereka. Hairani memang sudah tidak dapat menahan rasa ingin tahunya untuk melihat wajah Pak Aji. Pada jangkaannya memang Pak Aji yang memandu kereta itu.
          “ Alamak…! Takkan dia…” Wajah Norain nampak keruh. Hairani yang melihat lelaki yang baru keluar dari kereta itu juga turut melopong. Dia masih ingat wajah lelaki itu, wajah lelaki yang sama yang dimarahi dan diherdiknya di Bintang Plaza tempoh hari. Takkanlah….!
          “ Tapi…tu…ada lelaki berserban pulak kat sebelah tu…” Kali ini wajah Hairani semakin pucat apabila mendengar suara Norain mengatakan tentang lelaki berserban yang duduk di sebelah kerusi pemandu. Kalau berdasarkan nama bakal suaminya iaitu Haji, mungkin lelaki yang berserban itu yang paling sesuai dikombinasikan dengan nama itu berbanding lelaki yang seorang lagi. Kala itu Hairani sudah terduduk di katil. Lemah segala sendi tubuhnya. Dia merasakan air matanya bagaikan mengalir dengan deras. Tuanya laki aku…!
          “ Janganlah menagis Aira…! Tak sangka sampai macam tu sekali rupa penampilan Haji…” Norain cuba memujuk. Hairani sudah tidak mampu bersuara. Hanya esak tangisnya sahaja yang kedengaran. Tidak menduga sama sekali begitu teruk citarasa emaknya menilai lelaki yang bakal bergelar suaminya. Takkan itu yang emaknya ‘rasa’ dia akan suka ????
          “ Kenapa dengan kau ni Aira..?” Soal emaknya yang tiba-tiba menjengah ke bilik.
          “ Tak ada apa-apa makcik..” Norain cuba mengalihkan perhatian emaknya.
          “ Sampai hati mak…bakal suami Aira setua tu ke mak…” Soal Hairani tatkala emaknya baru sahaja mahu melangkah pergi dari pintu bilik. Segera terhenti langkah orang tua itu. Berkedut dahi emaknya memandang wajah Hairani. Norain sudah mula serba-salah. Harapnya…Hairani tidak akan mengamuk !
          “ Siapa cakap suami kau tua ?” Soal emaknya kembali, masih lagi dahinya berkerut.
          “ Tu..yang baru sampai tu siapa kalau tak dia? Yang naik kereta Camry tu…” Hairani berterus-terang. Lagipun dia masih ingat, kereta itulah yang Pak Aji gunakan sewaktu berjanji mahu berjumpa dengannya di Bintang Plaza dulu.
          “ Mana ?” Emaknya melangkah menuju ke tingkap bilik, lalu melihat keluar.
          “ Yang baru sampai dengan Camry hitam tulah…” Tunjuk Hairani, turut berdiri bersebelahan dengan emaknya. Suaranya masih sengau.
          “ La..siapa cakap dia tu yang bakal jadi suami Aira ? Tu abang Haji…si Adam…” Beritahu emaknya sambil menarik nafas yang panjang.
          “ Iye ke makcik…yang tu tadi memang bukan Haji…?” Norain juga tidak sabar mahu tahu. Emaknya mengangguk untuk kesekian kalinya. Manakala Hairani betul-betul lega dengan penjelasan ibunya itu. Harapnya, biarlah ibunya tidak berbohong untuk menyedapkan hatinya. Dengan rasa yang sedikit tenang itu, dia kembali melabuhkan punggung di atas katilnya.
          “ Hah..tupun budak Haji tu dah datang…!” Beritahu emaknya sambil memandang Hairani, mungkin mengharap Hairani akan melihat sendiri wajah sebenar Haji.
          “ Aira…kau tengoklah…macam tak percaya…! Tak sangka Haji muda macam tu…” Hanya suara Norain yang kedengaran memuji Haji. Hairani masih lagi duduk di atas tilam, tidak mengendahkan siapa Haji yang dimaksudkan oleh emaknya dan Norain. Bukan apa…dia takut untuk melihat buat kali kedua…takut lebih dasyat pulak kesannya nanti.
          “ Cepat Aira, kau tengoklah..” Norain menarik tangan Hairani, menggesa agar Hairani sama-sama melihat di tingkap. Mahu tidak mahu, terpaksa juga Hairani menuruti Norain apabila Norain menarik tangannya.
          “ Mana satu ?” Hairani mencari. Entah yang mana satu lelaki yang bernama Haji itu. Dia masih lagi memerhati. Ada tidak ada, dia hanya perasan sebuah kereta Mitsubishi Lancer putih yang tidak pernah dia lihat dari kelmarin diletakkan di hadapan rumah. Dia dapat merasakan, sebelum ini dia seakan-akan pernah melihat kereta itu…tapi dia sendiri tidak ingat di mana..!
          “ Yang pakai kemeja hitam tu…” Pantas sahaja Norain menunjuk ke arah seorang lelaki yang masih berdiri bersebelahan dengan kereta Mitsubishi Lancer tadi, yang sedang berkumpul bersama dua orang lelaki yang sampai dengan Camry tadi. Kali ini Hairani betul-betul melopong. Dia rasa bagaikan tidak percaya.
          “ Tak nampak macam orang yang pernah naik haji pun mak..? Mak jangan nak tipu Aira mak..” Soal Hairani kepada emaknya, sedangkan matanya masih memerhati lelaki berkemeja hitam tadi.
          “ Siapa yang cakap dia pernah naik haji ? Tu nama panggilan dia je tu….Hazizul..disingkatkan jadi Haji….!!!” Terang emaknya dengan bersahaja. Hairani sungguh tidak percaya. Jadi..selama ini orang yang dia gelar Pak Aji sebenarnya tidak pernah pun naik haji ? Dia sahaja yang tersalah anggap. Pada perkiraannya Haji itu memang seorang lelaki yang sudah mengerjakan haji dan sudah lanjut usianya. Pendek kata, dia menganggap Haji itu bujang terlajak.
          Dan kenyataan yang ada di hadapan matanya sekarang terlalu jauh berbeza. Sungguh lelaki yang sedang menarik perhatiannya sekarang mempunyai penampilan yang jauh berbeza dari apa yang sering dia fikirkan selama ini. Lelaki itu begitu menarik…nampak bergaya dengan kemeja dan seluar slack hitamnya.
          “ Alamak…dia tengok kau lah Aira..” Norain mencuit bahu Hairani. Kala itu wajah Hairani sudah merah padam kerana tidak menduga lelaki itu sedang melihatnya. Bagai mahu pengsan dia apabila melihat Haji sedang tersenyum kepadanya. Alamak….!!!!
          Hairani terduduk semula di katil. Norain masih lagi tercegat di tingkap, agaknya masih memerhati Hazizul yang baru sampai itu.
          “ Cuba kau tengok betul-betul Aira…sekali pandang Haji tu macam Tom Cruise….” Ujar Norain, dengan harapan Hairani akan berdiri semula. Tapi Hairani yang masih diselubungi perasaan terkejut gara-gara baru melihat sendiri bagaimana rupanya orang yang bakal bergelar suaminya itu tetap juga duduk di katil. Sedikit pun dia tidak mahu berganjak.
          “ Dua kali pandang macam Brad Pit…”
          Hairani sudah mencebik bibir mendengar kata-kata Norain yang dirasakannya tidak masuk akal itu. Ada pulak sekali pandang macam Tom Cruise, dua kali pandang macam Brad Pit pulak. Kalau pandang kali ketiga entah macam siapa pula….?
          “ Tapi…bila pandang kali ketiga…macam pelakon tv yang semakin popular pulak…macam Azizan Nin…”
          Hairani sudah menjeling Norain. Jelas sekali mata kawannya itu masih tertumpu keluar, masih memerhati Haji agaknya. Entah apa sahajalah maksud Norain itu. Ada pula pandang kali ketiga macam M. Nasir…? Entah apa pulak persamaan di antara Tom Cruise, Brad Pit dan Azizan Nin sehinggakan Norain melihat imej ketiga-tiga personaliti popular itu pada wajah Haji.
          Dan baru sahaja beberapa langkah emaknya meninggalkan bilik, Norain bersuara lagi.
          “ Itulah kau Aira, dulu aku suruh kau belajar berbaik dengan Haji…cuba bercinta dengan dia, kau tak nak. Ini tak…apa yang aku tengok kau tu tak habis-habis melepaskan rasa marah kau kepada Haji. Sekarang tak ke menyesal kau dibuatnya ? Dahlah Haji tu hensem…kalaulah aku di tempat kau…sanggup aku abadikan seluruh hidup aku untuk dia..”
          Hairani masih seperti tadi, bungkam tidak bersuara. Kata-kata Norain mungkin ada betulnya. Tapi hendak buat macam mana, perkara dah jadi, takkan hendak putar balik masa yang dah berlalu tu ?

Thursday, March 3, 2011

Cinta Kita - Bab 10


Senyuman sinis terukir di bibir Aiman. Irwan dan Maliki direnungnya bersilih ganti. Sekarang baru dia puas hati kerana melihat kawannya melopong terkejut.
          “ Kan aku dah cakap, aku dengan Hairani sekarang ni memang bercinta. Tak sangka pulak…kita je anggap dia tu sombong selama ni, rupa-rupanya sama jugak macam yang lain-lain tu, petik jari je terus dapat…” Sombong sekali nada bicara Aiman itu.
          “ Tak sangka juga, senang je kau nak tarik perhatian dia. Betul ke ni dia terima kau ?” Maliki masih seperti tidak percaya. Aiman menyedut puntung rokok yang masih berbaki itu, dan kemudian menghembuskan asap rokoknya ke udara.
          “ Kau dah dengar sendiri kan aku bercakap dengan dia tadi ? Takkan kau masih tak percaya lagi ?” Aiman ketawa lebih nyaring lagi kali ini. Baginya dapat memiliki cinta Hairani merupakan satu perkara yang menguntungkan. Mana tidaknya, selama ini gadis itulah yang paling susah untuk didekati di kolej. Rupa memang menarik…pandai bergaya, tapi sombong. Sebelum ini dia hanya banyak membuat research tentang apa yang patut dia buat untuk menarik perhatian Hairani.
          Power juga kau ni Man. Ayat apa yang kau guna untuk lembutkan hati dia tu ?” Sambung Irwan pula.
          “ Itulah korang. Selama ini korang anggap aku ni main-main. Kalau aku cakap aku nakkan perempuan tu, biar dengan apa cara sekalipun aku akan tetap cuba dapatkan perempuan tu..”
          “ Danilia macam mana Man ? Takkan kau nak tinggalkan dia macam tu je…” Soal Maliki. Kening Aiman bertaut apabila nama Danilia disebut.
          “ Danilia ? Emmm…aku takkan semudah itu nak tinggalkan Danilia kerana Hairani. Danilia dengan Hairani tu, bezanya bagaikan langit dengan bumi. Hairani tu apa je yang ada..bercakap pun kaku..! Bukan macam Danilia…seksi, menggoda…manja…” Kali ini Aiman ketawa, dan kemudian Maliki dan Irwan turut ketawa.
          “ Tabiklah aku kat kau. Kalau pasal nak tackle perempuan, kau memang nombor satu. Hai…apalah malang nasib Hairani..” Maliki turut menyambung ketawa.
          “ Kalau dah namanya kasanova tu..nak buat macam mana ?” Ujar Irwan. Arman yang mendengar bicara kawannya itu tidak berkecil hati. Lagipun memang dia suka digelar kasanova. Betukar-tukar kekasih itu adalah perkara biasa baginya. Semakin ramai perempuan yang dia dapat permainkan, semakinlah dia puas hati.
          “ Sementara Danilia masih di Singapura ni, apa salahnya kau gunakan peluang yang ada ni keluar dengan Hairani. Biar dia semakin syok dengan kau. Perempuan sombong macam Hairani tu mamang patut diajar Man. Mula-mula kau ayat dia…tawan hati dia, lepas tu..bila dia dah betul-betul jatuh cinta dengan kau, baru kau tinggalkan dia. Baru padan muka dia…biar dia kecewa sampai rasa nak bunuh diri…! Ala..kau buat macam yang kau buat dengan Melly dulu…” Cadang Maliki dengan mata yang besar memandang Aiman. Aiman yang masih menyedut rokoknya hanya mendengar sambil menganggukkan kepala. Dia tahu, cadangan Maliki itu memang boleh diguna pakai. Dia masih ingat Melly yang bagai nak rak sayangkan dia dulu. Perempuan itu memang cantik dan kaya, tetapi Melly hanya dijadikan mangsa sikap kasanovanya. Biarpun cantik dan kaya, dia tetap tidak pernah menyukai Melly. Setelah dua bulan bercinta, dia tinggalkan Melly. Bukan main lagi Melly memujuk rayunya, agar tidak meninggalkannya. Lagipun, biar berapa ramaipun perempuan yang dia pernah dampingi, hanya Danilia yang paling dia sayangi.
          Aku tak dapat keluar dengan dia dululah. Dia ada emergency leave, balik kampung. Nantilah…tahulah aku apa yang patut aku buat. Kau berdua tengok je. Kalau Hairani tak menangis sampai keluar air mata nanti…memang tak layaklah aku digelar kasanova…” Aiman usap dagunya. Antara ramai-ramai perempuan di kolej, cuma Hairani itu yang paling susah untuk dimilikinya. Selama hampir setahun dia cuba menarik perhatian Hairani, dan baru beberapa bulan kebelakangan ini sahaja Hairani memberikan respon yang positif. Sebab itulah dari sudut peribadi dirinya, dia menganggap penerimaan Hairani terhadap dirinya merupakan satu kejayaan, dan sekiranya dia berjaya mengecewakan Hairani nanti…itulah salah satu kepuasan bagi dirinya.

Cinta Kita - Bab 9


Hari Khamis sudah menjelang tiba. Wajah Hairani sejak pagi lagi masih pucat tidak bermaya. Sebenarnya dia agak berdebar-debar kerana dalam masa dua hari lagi, pernikahannya akan berlangsung. Kalau tidak kerana dia berdegil untuk balik dua hari sebelum majlis pernikahan itu, mesti sekarang dia sudah pun berada di kampung. Lagipun, itulah kemahuan emaknya. Setidak-tidaknya seminggu sebelum bernikah, dia sudah berada di kampung.
Sememangnya tiada terpalit sedikitpun rasa gembira di hatinya di saat menjelang hari pernikahannya itu. Pendek kata, dia memang tidak berminat untuk melakukan apa-apa sempena hari pernikahannya. Segala persiapan, dari pakaian, pelamin dan juru solek, semuanya emak dan mak ngah yang aturkan. Baju untuk dipakai pada hari pernikahan dan di hari persandingan pun dia belum pernah cuba lagi, pandai-pandai emaknyalah yang menentukan saiz bajunya nanti.
Semalam emaknya ada menelefon dari kampung, bertanyakan khabarnya. Biarpun tempoh hari mereka ada bertelagah sewaktu Hairani menyuarakan hasratnya mahu membatalkan perkahwinan dia dan Pak Aji, tapi emaknya seolah-olah telah melupakan perkara tersebut. Sebaliknya hampir setiap hari emaknya menelefonnya, bertanya itu dan ini…berpesan begitu dan begini. Nampak gayanya, mungkin perasaan marah emaknya tenggelam disebabkan kemeriahan yang sudah mula dirasakan menjelang pernikahan anak tunggal perempuannya itu.
“ Aira balik nanti, jangan ambil bas yang lewat sangat. Kalau boleh baliklah pagi..tengahari Aira dah sampai. Lagipun keluarga Mak Ngah semua pun dah ada di kampung. Haji pun ada datang semalam, tapi dia dah balik ke bandar semula sebab ada kerja. Kalau Aira tengok Haji, mak rasa mesti Aira pun suka kat Haji…”
Ahh..! Itu cuma perasaan mak sahaja. Detik Hairani di dalam hati. Sedangkan dalam hatinya sekarang, hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa berkecamuknya perasaannya ketika ini. Serba-serbi yang dibuatnya tidak kena. Manalah dia menduga, dia akan berkahwin sewaktu umur masih muda begini ? Bukan setakat muda, malahan pengajiannya pun belum tamat…dia sudahpun jadi isteri orang. Kalaulah dia jadi isteri kepada orang yang memang dia cintai, tidak juga apa. Tapi ini…?
Hairani tahu sekarang suasana rumahnya di kampung pasti meriah. Maklumlah, emak, ayah dan Mak Ngah sekeluarga sudah sepakat akan berkongsi mengadakan majlis persandingan secara besar-besaran di kampung sahaja. Mula-mula dulu memang Mak Ngah tidak setuju dengan cadangan ayah agar persandingan hanya diadakan di kampung. Mak Ngah tetap berkeras mahu mengadakan persandingan kali kedua di rumahnya di Miri. Tapi…entah apalah kata-kata hikmat yang ayahnya gunakan sehinggakan akhirnya Mak Ngah bersetuju persandingan hanya diadakan di rumah pengantin perempuan sahaja. Dan di bandar nanti, mungkin cuma akan diadakan parti untuk menyambut dia dan Haji sebagai pengantin baru.
Hairani menongkat dagu, sambil matanya ligat memerhati Norain yang sibuk mengemaskan baju masuk ke dalam beg pakaian. Penuh satu beg pakaian dibawa oleh Norain. Ceria sahaja wajah temannya itu, bagaikan dia pula yang bakal bergelar pengantin baru. Excitednya untuk balik ke kampung mengikut Hairani mengalahkan Hairani sendiri.
“ Kebaya ni okey tak kalau aku pakai di hari persandingan kau ?” Tanya Norain sambil menunjukkan sepasang kebaya pendek berwarna peach kepada Hairani.
“ Kalau kau…semua pun okey…” Jawab Hairani sambil tersenyum pahit.
“ Jawab macam tak ikhlas je. Come on lah Aira…senyum sikit. Kau tu bakal penganti baru. Jangan asyik bermasam muka, hilang seri nanti..” Perli Norain. Sekali lagi Hairani tersenyum dalam paksa. Dia tahu riak gelisah di wajahnya memang sudah tidak dapat di sembunyikan lagi.
“ Kau dah siap semua ? Kalau macam tu, kita bertolak sekarang..” Hairani menukar topik perbualan mereka. Malas dia sekiranya nanti Norain membebel tentang perkahwinannya.
“ Takkan kau nak pakai seluar ‘britney’ tu je Aira ? Tukarlah..” Berkerut dahi Norain memandang Hairani dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Hairani hanya menarik nafas panjang mendengar kata-kata Norain sebentar tadi. Dia tahu, seluar ‘britney’ yang dimaksudkan oleh Norain sebentar tadi adalah jeans low cut yang dipakainya ketika ini. Gara-gara fesyen jeans low cut yang dipelopori oleh Britney Spear itulah yang menyebabkan Norain menggelar jeans tersebut seluar britney.
“ Ala..malaslah aku nak tukar. Setakat nak balik kampung je…bukannya aku nak pakai seluar ni bersanding pun…” Balas Hairani, endah tak endah.
“ Hem..sukahati kaulah..! Bukannya badan aku..badan kau juga. Yang penting, aku pun nak kelihatan hebat, manalah tahu aku dapat tackle perhatian adik Haji, dapatlah aku jadi adik ipar kau…” Norain ketawa berdekah-dekah setelah habis berbicara. Hairani menjeling mendengar bicara kawannya itu. Kadang-kala dia memang geram dengan setiap kata-kata yang terkeluar dari mulut Norain yang seperti tidak pernah menyebelahinya itu. Bukannya nak menenangkan hatinya yang gundah sekarang, malahan Norain menyebabkan hatinya semakin kalut. Serta merta dia teringatkan Aiman. Entah apalah yang akan terjadi kepada dia dan Aiman selepas ini nanti sekiranya Aiman tahu statusnya yang sudah bergelar isteri orang nanti.

Thursday, February 24, 2011

Cinta Kita - Bab 8

Norain yang baru pulang dari kolej tengahari itu merasa hairan apabila mendapati rumah sewa mereka terlalu bising. Bunyi lagu kumpulan Coldplay bergema di udara.
“ Apa pulak mimpi budak ni ?” Norain menggerutu di dalam hati. Pagi tadi sewaktu dia pergi meninggalkan rumah, keadaan masih lagi tenang dan sunyi. Norain yang masih lagi keletihan kerana berjalan kaki di sepanjang perjalanan balik tadi segera melabuhkan punggung di sofa. Dia memejam mata, sambil cuba menghayati lagu Yellow dendangan kumpulan Coldplay tadi. Bagaimana pun Norain membuka matanya apabila dapat merasakan ada seseorang duduk bersebelahan dengannya.
“ Kau ni kenapa ? Semacam je aku tengok !” Tegur Norain apabila perasan riak wajah Hairani yang tampak gelisah. Begitupun, Hairani tidak terus menjawab. Hanya tangannya sahaja yang ligat memintal hujung bajunya. Dia pasti, memang ada sesuatu yang mahu Hairani luahkan kepadanya.
“ Kau ni kenapa Hairani ?” Bertemu keningnya memandang Hairani. Dan kali ini dia tambah terkejut sewaktu mendapati yang Hairani sebenarnya menangis. Dan masih seperti tadi, Hairani masih tetap membisu seribu bahasa.
“ Ain….” Hanya itu yang Norain sempat dengar dari bibir Hairani sebelum Hairani memeluk tubuhnya. Terasa bagaikan mahu sesak nafas Norain gara-gara pelukan Hairani yang terlalu kuat itu, bagaikan Hairani cuba melepaskan geram sambil memeluknya pula. Bagaimanapun tindakan Hairani yang mendadak memeluknya itu menyebabkan dia menggelabah. Buat seketika biarpun nafasnya terasa sesak, dia tetap membiarkan sahaja Hairani terus memeluknya. Pada perkiraannya biarlah tangisan Hairani itu reda dahulu, barulah sesuai untuk bersuara ataupun bertanya.
“ Ain, nanti…kalaupun aku dah kahwin, aku tetap juga nak tinggal dengan kau…” Itulah ayat pertama yang dibicarakan oleh Hairani setelah tangisannya reda. Norain hanya menggaru kepala yang tidak gatal mendengar bicara kawannya itu. Tahulah dia, pastinya kesedihan dan masalah Hairani kali ini tetap berpunca dari perkara yang sama iaitu kerana perkahwinannya dengan Pak Aji..!!
“ Mana boleh Aira, nanti kau dah bergelar isteri, mestilah tinggal dengan suami. Tak pernah dibuat dek orang lepas kahwin suami dan isteri tinggal asing-asing. Sekalipun suami kau berikan keizinan untuk kau tinggal di sini, aku tetap tak sedap hati juga…” Norain cuba berbicara dengan nada yang selembut mungkin. Lagipun dia bimbang sekiranya berbicara kasar dengan Hairani, nanti Hairani merajuk pula.
“ Aku tak nak tinggal dengan Pak Aji..” Hairani menekan suara.
“ Hairani…”
“ Dahlah Ain, janganlah kau nak pujuk aku pulak. Kau tahu tak…aku terima Pak Aji jadi suami aku pun, aku dah cukup terseksa..” Hairani merenung Norain dengan matanya yang merah.
“ Ya..aku faham…” Norain mengangguk, cuba menunjukkan dia faham.
“ Baguslah kalau kau faham..” Barulah suara Hairani kembali perlahan. Norain terdiam seketika, seakan-akan berfikir. Dia masih ingat akan kata-kata Hairani semalam, semuanya akan dapat diselesaikan dengan cara yang baik. Dan nampaknya tidak semudah itu untuk Hairani membuktikan kata-katanya semalam itu dapat dikotakan. Yang jelasnya, hari ini keadaan Hairani jelas sekali teruk. Norain juga pasti, tekaannya semalam memang betul. Bukannya senang bagi Hairani untuk membatalkan majlis pernikahan dengan Pak Aji itu. Tambahan lagi, Pak Aji itu menantu pilihan keluarga..!
Norain merenung wajah Hairani sekilas. Masih jelas riak kesedihan di wajah putih Hairani. Niatnya untuk bertanya dengan lebih lanjut kepada Hairani tentang perkara yang sebenar terjadi hari itu juga turut terbantut. Kala itu perasaan geram setiap kali bertekak dengan Hairani mula bertukar menjadi rasa belas kasihan tatkala melihat wajah sedih Hairani.
Dia tahu, memang bukan mudah bagi Hairani untuk menerima bakal suami yang dipilih oleh emaknya itu. Sekalipun lelaki itu sepupunya sendiri, itu tidak bermakna Hairani dapat menerima Pak Aji dengan hati yang terbuka. Andainya dia yang berada di tempat Hairani, mahu juga keadaannya lebih teruk daripada Hairani. Entah-entah dia hanya mampu berendamkan air mata sepanjang masa. Tapi apakan daya, sekarang memang dia tidak mampu untuk menghulurkan apa-apa pertolongan kepada Hairani untuk lari dari masalah itu. Kalau masalah Hairani itu setakat masalah cinta biasa, mungkin dia masih boleh menolong apa yang patut, tapi ini..bukannya masalah yang hanya melibatkan perasaan cinta terpaksa..malahan melibatkan perkahwinan.
Dan sebagai seorang kawan, Norain memang bersimpati dengan nasib Hairani. Agaknya memang sudah tertulis jodoh Hairani untuk menjadi isteri kepada lelaki yang tidak pernah dikenalinya dalam usia yang agak muda. Apa sekalipun, pintanya semoga Pak Aji dapat membahagiakan Hairani.



Norain baru sahaja selesai mandi ketika dia mendengar Hairani bercakap dengan nada yang agak nyaring di ruang tamu. Panjang sahaja lehernya menjenguk ke ruang tamu, cuba melihat dengan siapa Hairani sedang berbual. Kala itu baru dia perasan, rupanya Hairani sedang bercakap dengan seseorang di telefon.
“ Pak Aji, saya tak ada masa nak bergurau dengan awak. Ni yang awak mesti ingat, saya ni kahwin dengan awak sebab awak tu pilihan emak saya. Kalau ikutkan hati saya, tak nak saya kahwin dengan awak. Dahlah tua….”
Norain menelan liur yang serasa melekat di kerongkong. Nampak gayanya sedih Hairani petang tadi tidak ke mana. Dia jadi geram sendiri mendengar bunyi bicara Hairani tadi. Dah tahu terpaksa kahwin dengan Pak Aji, apa salahnya gunakan masa yang ada sebelum kahwin dengan berbaik-baik dengan Pak Aji. Daripada asyik bertekak tak tentu pasal, baik gunakan peluang yang ada untuk mengenali Pak Aji. Manalah tahu…kot-kot Pak Aji itu jauh lebih baik dari yang disangka. Ini tidak, asal sahaja bercakap dengan Pak Aji setiap kali Pak Aji menelefon, tak sudah-sudah Hairani dengan hot tempernya.
Suasana masih diam seketika. Agaknya Hairani masih mendengar butir bicara dari Pak Aji pula. Norain bagai sudah melekat di dinding yang memisahkan ruang tamu dengan dapur, tidak jauh dari bilik mandi tadi, cuba untuk terus memasang telinga mendengar perbualan Hairani dengan Pak Aji.
“ Aii…awak ketawakan saya pula ? Jangan ingat awak ketawa macam tu, lepas tu buat suara-suara romantik macam tu, saya akan suka pada awak. Jangan mimpilah..”
Norain rasa telinganya bagaikan mahu tanggal tatkala mendengar bicara kawannya itu. Sungguh dia melihat Hairani bagaikan seorang perempuan yang sudah hilang adap sopannya apabila bercakap dengan orang lain. Sekalipun tak sukakan Pak Aji, janganlah cakap sampai macam tu sekali…!!!
“ Apa awak kata ? Awak nak pastikan saya jatuh cinta dengan awak ? Jangan mimpi di siang harilah Pak Aji…” Kedengaran Hairani ketawa setelah habis berbicara. Norain mengurut dada sendiri mendengar bicara bernada sombong Hairani itu. Dibuatnya lepas kahwin nanti Hairani ‘terjatuh cinta’ pulak dengan Pak Aji…baru padan muka Hairani !
“ Eiii…dahlah. Malas saya nak dengar suara awak tu. Naik loya saya dengar. Tak habis-habis perasan yang diri tu hensem. Awak tu Pak Aji, nama je Haji..tapi perangai tak serupa orang dah naik haji pun…! Dan seperkara lagi yang saya nak ingatkan awak, sekalipun kita nanti dah jadi suami isteri, saya tak nak tinggal serumah dengan awak…..”
Hairani terdiam seketika. Norain turut ternanti-nanti apa bicara Hairani yang seterusnya.
“ Suka hati sayalah nak tinggal kat mana pun. Saya lebih sanggup tidur bawah jambatan dari tidur sebilik dengan awak…! Dah…bye…” Nampak gayanya Hairani sudah menamatkan perbualannya dengan Pak Aji. Dan Norain yang sudah perasan Hairani sedang melangkah menuju ke pintu bilik, segera berlari-lari anak menuju ke bilik tidurnya sendiri. Di balik pintu, dia menarik nafas lega kerana berjaya menyelinap masuk ke bilik sebelum Hairani sempat melihatnya. Kalaulah Hairani mendapat tahu dia memasang telinga sebentar tadi, matilah dia kena amuk Hairani..!